PETALING JAYA: Unjuran keuntungan bersih dan pendapatan Bermaz Auto Bhd. (BAuto) bagi 2026 dan 2027 diturunkan lebih rendah susulan prestasi terbaharu syarikat itu yang tidak menepati jangkaan, menurut penganalisis pasaran.
CIMB Securities berkata, keputusan suku keempat tahun kewangan 2025 BAuto hanya mencapai 95 peratus daripada unjurannya dan 94 peratus daripada anggaran konsensus, disebabkan sumbangan lebih rendah daripada syarikat bersekutu.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 dengan pengurangan antara 21 hingga 29 peratus.
“Ini berpunca daripada pendapatan syarikat bersekutu yang lebih rendah serta margin yang dijangka lebih ketat berikutan penurunan jumlah jualan.
“Kami menjangkakan jumlah jualan Mazda meningkat sederhana sebanyak lima peratus tahun ke tahun kepada 12,000 unit pada 2026, disokong pelancaran model CX-60 dan CX-80 yang dirancang pada separuh kedua tahun kalendar 2025.
“Bagaimanapun, pemulihan jualan ini mungkin menjejaskan margin kerana persaingan semakin sengit untuk model utama CX-5 dan CX-30 dalam segmen harga RM100,000 hingga RM200,000,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
CIMB Securities berkata, BAuto telah menghantar sebanyak 824 unit model kenderaan elektrik XPeng G6 dan X9 dalam tempoh lapan bulan pertama tahun kewangan berakhir April 2025.
Firma itu turut menjangkakan sumbangan lebih kukuh daripada XPeng pada tahun kewangan berakhir April 2026, didorong kesan jualan setahun penuh dan potensi pelancaran model baharu.
“Kami menganggarkan XPeng boleh menyumbang antara RM15 juta hingga RM20 juta kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan pada 2026.
“Selain XPeng, BAuto juga merancang untuk melancarkan tiga model kenderaan elektrik baharu di bawah jenama Deepal pada separuh kedua tahun kalendar 2025 iaitu Deepal S07, S05 dan E07,” ujarnya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut menurunkan unjuran pendapatan bagi 2026 dan 2027 sebanyak 31.4 peratus berikutan prospek industri automotif yang semakin mencabar dengan jualan dan margin keuntungan dijangka lebih rendah.
HLIB berkata, pelancaran model XPeng G6 dan X9 membantu menyokong margin kumpulan pada suku tersebut sekali gus mengurangkan impak prestasi lemah jenama Mazda dan Kia.
“Bagaimanapun, persaingan di pasaran tempatan dijangka semakin sengit dengan kemasukan pengeluar peralatan asal (OEM) dari China yang menawarkan model berteknologi tinggi pada harga lebih kompetitif.
“Operasi di Filipina juga terus berdepan tekanan akibat kemasukan pemain dari China,” katanya.
HLIB turut menurunkan saranan ke atas BAuto kepada ‘jual’ berbanding ‘pegang’ sebelum ini, dengan harga sasaran dikurangkan kepada 78 sen daripada RM1.05.
Bagaimanapun, firma itu berkata, BAuto kekal memiliki kedudukan kewangan yang kukuh dengan baki tunai bersih RM207.2 juta atau bersamaan 17.8 sen sesaham pada akhir 2025, yang terus menyokong pengagihan dividen secara berterusan.-UTUSAN









