PETALING JAYA: Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail terus membuktikan statusnya sebagai antara pemain elit dunia apabila menjuarai Terbuka Singapura 2025, sekali gus merangkul gelaran ketiganya dalam kejohanan berprestij itu.
Dalam aksi final yang menyaksikan pertembungan ‘all-Malaysian’, bekas juara dunia itu menundukkan rakan senegara, Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin dalam dua perlawanan dramatik.
Rafiq, 28, terlebih dahulu mencatat kemenangan meyakinkan 243-221 pada perlawanan pertama sebelum terpaksa bekerja keras untuk mengesahkan gelaran selepas menang tipis 193-190 dalam perlawanan kedua.
Kejayaan itu menambah koleksi kejuaraan Rafiq di Singapura selepas turut menjulang trofi edisi 2017 dan 2019, manakala beliau pernah menduduki tempat ketiga pada edisi 2013 dan 2024.
Lebih manis, ia merupakan gelaran sulung Rafiq untuk musim ini selepas sekadar muncul naib juara dalam dua kejohanan utama iaitu Piala Dunia IBF dan Kejuaraan PBA Scorpion pada awal tahun ini.
“Memang rasa sangat lega kerana sebelum ini saya tewas tiga kali di pentas final. Kalau kalah sekali lagi, ini akan jadi kekalahan keempat berturut-turut dalam perlawanan akhir.
“Saya memang sasarkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan setiap tahun dan Alhamdulillah, kali ini saya berjaya raih kejuaraan pertama tahun ini. Ini juga kali ketiga saya menjuarai Terbuka Singapura,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Rafiq turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat untuk menghadapi kejohanan seterusnya.
“Ini sememangnya satu ‘boost’ untuk saya menjelang Hong Kong Open hujung bulan ini dan juga kejohanan utama iaitu Kejohanan Dunia hujung Disember nanti,” ujarnya.
Sebagai juara, Rafiq membawa pulang hadiah wang tunai AS$25,000 (RM82,750), manakala Megat Zaqrul menerima AS$12,000 (RM39,720) selaku naib juara.-UTUSAN










