Cerita 1
Abadi yang mutlak hanya milik Tuhan Maha Pencipta, ketimbang abadi bagi manusia bersifat sementara. Pengalaman tentang masa silam yang sering diulang sorot juga sementara.
Pak Nasir menyerikan Ahad dengan mengelamun di balkoni.
‘Azi, beginilah aku menempuh hari tua, hidup mandiri sejak kau pergi.’
Suara Syamin dari dapur kedengaran.
“Ayah, nak air lagi?”
“Cukup along, masih ada lagi,” balas Pak Nasir.
Along Syamin, itulah anak sulung, kini sudah lebih tiga dekad menempuh pasang surut kehidupan. Anak ini setia menemani bapanya sejak sedekad lalu.
Along Syamin dan Jasman serta dua orang anak mereka, Daniel dan Armani penghibur sejati di rumah tua ini.
Pak Nasir terus melayan waktu senggang sambil menguliti akhbar mingguan. Pak Nasir maklum, akhbar berwarna-warni dengan kisah hiburan, cerita politik, hal kemasyarakatan dan tidak kurang pula berita tragedi dan sensasi. Akhbar tetap setia menyampaikan maklumat, pendidikan dan hiburan kepada pembaca. Itulah fungsi akhbar. Pak Nasir arif akan hal itu kerana sekian lama mendampingi akhbar.
Ikut kefahaman Pak Nasir, akhbar ialah cabang media. Selain akhbar, ada sumber maklumat lain termasuk majalah, buletin, pelbagai peranti komunikasi, laporan, buku, minit, surat, dan bermacam-macam lagi.
‘Panjang senarainya kalau nak ditaip atau ditulis! Eh, siapa pula yang rajin menulis?’ Pak Nasir menggeletek hatinya sendiri.
Tiba-tiba, ingatan Pak Nasir singgah ke masa silam, gara-gara terkenang himpunan buku penyeri rak di rumah.
Ceritera 2
Semasa muda, panggilan ringkas Mohd. Nasir bin Zakaria hanyalah Nasir, dan sesekali Cikgu Nasir. Apabila berumah tangga, Nasir sudah bersiaga menyusun impian hidupnya. Tujuannya mahu memancarkan kemahuan yang tertunda oleh takdir.
Nasir juga sedar bahawa gaya hidup seseorang terkait dengan impian yang terpendam.
‘Mengapa pula impian dikatakan terpendam?’
Soalan itu mengetuk minda Nasir. Nasir yakin, bersandarkan pengalamannya, tiap keinginan tidak mampu dipenuhi dalam waktu singkat. Keinginan perlu dibayangkan dahulu, seterusnya diusahakan keberhasilannya dengan penuh sabar dan tabah.
Nasir juga yakin bahawa fitrah sebuah penantian adalah keberhasilan, berkat upaya dengan izin-Nya. Sudah pastilah keberhasilan bagaikan buah yang ranum, terhidang di meja makan rumah nan damai.
Insan yang normal pasti ada impian hidup. Contoh impian ialah pertemuan jodoh dengan insan pilihan sehingga berzuriat, dengan kehendak-Nya. Apatah lagi jika pasangan hidup itu juga merupakan pekerja di bawah payung majikan yang sama, tentulah impian lebih mudah diatur bagi menikmati resipi kenyataan.
“Azi, apabila kita sudah ada rumah, kita buat bilik bacaan ya,” ucap Nasir kepada isteri, Azilah atau Cikgu Azilah. Kata-kata itu malar segar dalam ingatan Nasir. Ingatan itu mewangikan taman kasih kedua-dua insan.
“Azi sokong penuh impian abang. Tapi bilik itu nak isi apa? Buku kita bukan banyak sangat pun,” balas Azilah, cuba menduga rasional di sebalik impian suami.
“Kita tempahlah rak buku mini. Satu bahagian dinding saja sudah cukup.”
“Bilik itu nama sahaja bilik bacaan. Sebenarnya di dalam bilik itu kita letak semua kerja sekolah kita, termasuk kertas jawapan pelajar.”
Bersungguh-sungguh Nasir membayangkan aura bilik bacaan impiannya.
“Bukankah kertas jawapan pelajar itu sulit?” seloroh Nasir, tersenyum meleret.
Azilah tergelak kecil di hujung senyumannya.
“Abang ni, sampai ke situ perginya,” balas Azilah, masih tersenyum dek kelucuan itu.
Impian nan murni diperkenankan Allah. Selepas lima tahun memadu akad, Nasir dan Azilah berjaya memiliki istana kecil, seunit rumah hujung. Bilik bacaan segera dijadikan kenyataan. Bagi pasangan itu, frasa ‘bilik bacaan’ seronok dilafazkan tanda terpenuhi impian, tetapi bilik itu tampak hambar pada mulanya.
“Azi, anak-anak kita boleh buat kerja sekolah di bilik bacaan,” cadang Nasir.
Kata-kata Nasir segera disambut. “Azi rasa anak-anak lebih selesa buat kerja sekolah di bilik mereka.”
Kata-kata itu tercatat dengan dakwat kekal, abadi di lipatan memori. Bilik bacaan kini menempatkan buku-buku rujukan era pengajian di universiti, kemudian bertokok tambah lagi menerusi pembelian dari semasa ke semasa.
Bukan sekadar buku rujukan, bilik bacaan mengabadikan buku-buku kegemaran Nasir. Lima bidang yang amat disenanginya: bahasa, sastera, pendidikan, kaunseling dan agama. Kebanyakan buku Nasir hasil tuaian sewaktu mengunjungi pesta buku.
Anak-anak pula menyimpan novel-novel kegemaran di sudut bilik mereka.
Nasir perasan, pesta buku saban tahun bak penghibur hati, pengubat lara. Apabila berlangsung pesta buku, kunjungan Nasir ke sana pasti tidak cukup sekali.
Itulah Cikgu Nasir atau Pak Nasir, tampak serasi berbusana guru, suami, bapa, datuk, dan mutakhir ini, duda. Busana-busana itu dimuliakan dengan martabat kepakaran, ketokohan dan
kebaktiannya. Kesemuanya bagaikan resume dalam fail kenangan.
“Ayah sudah habis baca semua buku?” Tanya si bongsu yang polos, Mirza.
“Bagus Mirza tanya ayah soalan itu. Itu soalan cepu emas untuk pengunjung pesta buku,” jawab Nasir spontan.
Aleeya turut menduga fikiran bapanya.
“Kesukaan ayah mengumpul buku ini kerana terpengaruh dengan anak-anak atau anak-anak-anak yang terpengaruh dengan ayah?”
“Alahai Aleeya, ini soalan KBAT atau soalan Maharaja Lawak?”
Mereka sama-sama tergelak.
“Ayah tak jawab dengan tepat soalan Mirza tadi,” Mirza kembali bersuara.
“Sebenarnya, beli buku memang tujuannya untuk dibaca. Cuma, tidaklah dibaca serta-merta. Apabila lapang, barulah dibaca.”
“Mirza fikir, ayah memang kena lapangkan masa. Kena paksa diri lapangkan masa untuk baca buku. Banyak sangat buku di dalam bilik bacaan!”
“Wah, ayah berkenan jawapan Mirza! Bertuah ayah ada tukang bagi peringatan,” sambut Nasir, tersenyum.
“Tapi, yang afdal, kita tidak boleh tinggalkan amalan baca Quran!” sambung Nasir lagi.
Mirza mengangguk, tersenyum memandang bapanya.
“Itulah juga pesan ibu dulu.” Mirza mengimbau pesanan gemulah ibunya.
Ceritera 3
Pesta buku di World Trade Centre (WTC) akan berakhir dua hari lagi. Aleeya dan Mirza sudah bersiap-siap menyertai bapa mereka untuk bergerak ke Kuala Lumpur. Along Syamin sekeluarga ada undangan perkahwinan saudara sebelah suaminya.
“Kita letak kereta agak jauh dari WTC tau! Nasir memberitahu dua puterinya.
“Mana kita pernah dapat letak kereta di bawah Dewan Tun Hussein Onn,” Aleeya mengimbas.
“Bukankah kita pernah letak kereta di pekarangan hotel,” Mirza mengimbau pengalaman lalu.
“Masa itu kita menginap di hotel. Tahun itu ayah ada rezeki lebih,” jelas Nasir.
Selepas menapak di bahu jalan bersebelahan Jalan Putra, tiga beranak itu memasuki ruang pameran menerusi pintu berdekatan hotel di situ.
“Okey, kita bergerak asing-asing. Cukup ya duit yang ayah bagi tadi? Waktu makan nanti kita jumpa di restoran tidak jauh dari pentas utama,” pesan Nasir.
“Baik ayah, kami ronda-ronda cari novel di aras empat. Nak cari novel bekas pelajar ayah,” beritahu Aleeya, terpancar wajah nan teruja.
“Pandai ya, terus tuju aras empat! Mesti sudah selalu baca promosi PBAKL.”
“Kalau penulisnya ada, minta autograf sekali,” saran Nasir.
“Itu kerja Mirza, ayah. Dia kan suka berjumpa penulis,” Aleeya mengusik adiknya.
“Kak Aleeya apa kurangnya! Siap berswafoto lagi…,” balas Mirza, tersenyum.
“Baiklah, kita berpecah di sini. Ayah nak ke bilik Kenanga, Nusa Centre di aras satu, kemudian ke reruai kawan di aras tiga.”
Mirza sempat mengingatkan sesuatu sebelum mereka memilih haluan masing-masing.
“Takkan kita tak pergi ke reruai DBP!”
“Nak panggil ‘reruai’ atau ‘ruang pameran’, ayah? Kalau ‘reruai’ maknanya macam gerai,” Mirza sekadar bertanya.
“Reruai maksudnya kawasan terbuka dan terhad, kalau ikut kamus,” jelas Nasir, menyambung lagi, “Mana boleh tak pergi! Ayah nak beli majalah yang ada cerpen ayah.”
Satu per satu reruai dilewati. Di laluan yang agak sesak, Nasir hanya seperti mengekori pengunjung sambil memandang buku-buku dari kejauhan.
Setiap reruai ada daya pikat pengunjung. Nasir terpesona melihat aneka judul buku tersusun rapi di atas rak. Bagi pencinta buku, suasana meriah PBAKL menginspirasikan.
Di sebuah reruai yang disinggahi, Nasir disapa petugas.
“Encik, sebentar lagi kami nak berikan potongan harga buku yang ada di meja hadapan,” beritahu seorang petugas lelaki, tampak mengujakan.
Dalam hati, Nasir sudah berkira-kira mahu memiliki novel tebal karya novelis yang sudah berkali-kali ditatap wajahnya di media sosial. Nama novelis itu pun sering dipromosikan oleh media.
Sebutan nama pun menarik, gabungan aksara lembut!
‘Syukur ya Allah, karya penulis ini bertahan lama di pasaran. Namanya harum, karyanya malar segar, bertemakan sejarah bangsa Melayu.’ Nasir bermonolog, merumus perasaan kagumnya. Hati bagaikan tidak dapat ditahan-tahan.
‘Tuhan kurniakan bakat kepada penulis yang berusaha keras. Tugas aku sebagai pembaca menyokong penuh. Nak lawan tak terlawan! Sesuailah aku jadi pengikut tegar!’
Hampir pukul 2 petang tiga beranak itu baru dapat bertemu di restoran yang dijanjikan.
“Penat Aleeya, Mirza?” Tanya Nasir, mengambil hati puteri-puterinya.
“Nak sambung lagi sampai petang?”
“Alang-alang datang biar puas hati, ayah,” jawab Mirza.
Aleeya memperkukuh kesimpulan adiknya.
“Kita kena masuk ke reruai penerbit besar, baru berbaloi datang!” sambung Aleeya.
“Ya, tentu kita akan singgah setiap reruai dalam laluan kita menuju jalan keluar nanti,” cadang Nasir, menyokong cadangan Aleeya.
Waktu Asar sudah kian berhujung. Begitu cepat berlalunya waktu.
‘Pesta buku sentiasa indah dalam hatiku. Selagi ada kudrat, aku tidak akan melepaskan peluang datang ke sini.’ Nasir berbicara sendiri ketika menuju ke kereta di bahu jalan, 200 meter dari Dewan Tun Hussein Onn.
“Ayah, kita jamak taakhir di stesen minyak sebelum tol, macam tahun lepas,” cadang Aleeya.
“Ya, memang ayah sudah merancang berhenti di situ, isi minyak sekali.”
“Sekejap sangat berada di PBAKL. Kalau tidur di hotel boleh kita pergi dua hari.” Mirza mengimbau keseronokan hadir di pesta buku beberapa tahun dahulu.
“Mirza, apabila kita dah ada keluarga sendiri, kita rancang percutian semasa diadakan pesta buku,” Aleeya menzahirkan keterujaannya.
Mirza tersenyum hambar. Keterujaannya ke pesta buku mungkin berbeda dengan keterujaan kakaknya. Pengajian yang sedang diikutinya masih belum tamat. Soal perkahwinan agak kabur baginya, ketika ini.
Nasir memandu sambil memahat ingatannya untuk singgah di stesen minyak sebelum melewati tol Sungai Besi. Dalam suasana lebuh raya yang sentiasa sibuk, Nasir tersenyum puas. Mindanya menerawang.
‘Impianku tentang bilik bacaan kini menjadi kenyataan. Aleeya dan Mirza pencinta buku. Syamin dan Jasman juga menyokong gerak kerja perbukuanku, mentor kepada pewaris cilik, Daniel dan
Armani. Roh bilik bacaanku bukan cerita tentang impian yang terpendam!’
Nasir melayan jiwa melankoliknya, namun tetap menekuni pemanduan.
“Ayah, jangan lupa singgah stesen minyak kita!” Mirza tiba-tiba mengingatkan.
“Bila pula kita ada stesen minyak?” Aleeya mencelah, tergelak besar.
“Esok susun buku di bilik bacaan, nak baca senang cari,” saran Nasir.
Tiga beranak selesa menyantuni buku. WTC menyemarakkan keberhasilan itu. – UTUSAN










