Risau pasangan main kayu tiga

Risau pasangan main kayu tiga

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN

Saya seorang isteri yang sedang berusaha menjaga rumah tangga. Hari-hari baca isu kecurangan dan penceraian membuatkan saya mula berprasangka dengan pasangan. Apakah yang boleh saya lakukan untuk memastikan pasangan saya tidak curang?
-Isteri risau

JAWAPAN
Sebagai isteri, menjaga keharmonian rumah tangga satu tanggungjawab. Walaupun kadangkala ada cabaran yang boleh menggugat kebahagiaan, isteri tidak sepatutnya berprasangka buruk terhadap pasangan. Sebaliknya, berikan kepercayaan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan yang baik dengan pasangan untuk keharmonian rumah tangga. Berikut beberapa tips untuk memastikan rumah tangga harmoni:

Komunikasi terbuka – Ajaklah pasangan untuk berkongsi cerita. Luahkan perasaan yang mengganggu hati dan fikiran anda. Elakkan daripada terlalu mendesak atau menunjukkan kecurigaan semasa berbicara. Dengar dengan penuh empati dan terbuka supaya komunikasi dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan suasana harmoni.

Jaga hubungan suami isteri- Luangkan masa bersama-sama pasangan untuk melakukan aktiviti yang disukai. Wujudkan masa berkualiti yang menyenangkan, supaya hubungan sentiasa hangat. Sentiasa beri penghargaan kecil seperti ucapan terima kasih, pelukan dan pujian kepada pasangan sebagai penguat kasih sayang.

Hadkan penggunaan media sosial – Kurangkan aktiviti yang melibatkan media sosial terutamanya isu berkaitan kecurangan kerana ia akan menambah ketakutan anda. Hadkan bacaan atau unfollow sumber-sumber yang berkaitan. Fokus pada cerita-cerita yang memberi inspirasi dalam rumah tangga.

Dapatkan Sokongan – Cari rakan atau ahli keluarga yang boleh dipercayai untuk mendapatkan sokongan. Sekiranya keadaan ini berterusan dan sukar untuk dikawal, sila dapatkan bantuan daripada kaunselor profesional. Mereka boleh membantu anda untuk menenangkan fikiran sekaligus dapat mengembalikan keyakinan diri dengan lebih baik.

Cari kekuatan diri – Usaha untuk melakukan aktiviti secara bersendirian seperti membaca, bersenam, berkebun atau menulis jurnal tanpa perlu bergantung dengan pasangan. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memberi kepuasan diri, malah membantu mengurangkan tekanan anda. Dengan membina kekuatan diri yang kukuh, anda akan menjadi lebih tenang dan mampu mengekalkan keseimbangan dalam rumah tangga.

Bertawakal kepada Allah- Berdoa dan serahkan segala urusan keluarga kepada Tuhan. Sikap bertawakkal ini bukan sahaja membantu mengurangkan kerisauan malah dapat memberikan ketenangan hati. Yakinkan diri Tuhan akan mengatur yang terbaik untuk anda sekeluarga.
Kesimpulannya, keharmonian rumah tangga memerlukan kerjasama erat daripada kedua-dua pasangan. Usaha bersama-sama mencari titik kesepakatan untuk mencapai kebahagiaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×