KUALA LUMPUR: Atlet lontar cakera negara, Irfan Shamsuddin mendakwa dirinya menjadi mangsa ugutan, tekanan emosi serta campur tangan daripada kepimpinan tertinggi Olahraga Malaysia (MA).
Pendedahan itu dibuat secara terbuka menerusi satu sidang akhbar khas yang diadakan sebentar tadi, dengan Irfan mendakwa ugutan itu hadir daripada Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim serta beberapa pegawai kanan badan induk itu
“Saya bukan bercakap untuk diri saya sahaja, tetapi untuk semua atlet yang pernah didiamkan, dipinggirkan atau dipaksa tunduk kepada kuasa tertentu.
“Saya tahu maruah saya dan saya tahu beza antara yang betul dan salah. Saya bukan yes man. Enough is enough. Politik jangan campur dalam sukan,” tegas Irfan.
Menurut Irfan, tekanan itu bermula sejurus kepulangannya dari Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan pada awal bulan ini, di mana beliau berjaya meraih pingat gangsa.
Katanya, tindakan beliau mengucapkan terima kasih secara terbuka kepada jurulatih dan pegawai teknikal yang terlibat dalam kejayaannya telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pimpinan MA.
“Saya dihujani panggilan dan mesej berbaur arahan minta saya tarik balik penghargaan terhadap individu tertentu dan hanya sebut MA serta MSN. Kalau tak ikut, saya diberi amaran penyertaan saya dalam kejohanan akan datang mungkin digugurkan,” jelasnya.
Tambah Irfan, beliau turut mempersoalkan kewajaran MA menghalang atlet mencari dana sendiri untuk menyertai kejohanan antarabangsa walaupun sudah mempunyai penaja.
“Siapa yang beri hak pada satu individu sahaja untuk tentukan masa depan saya sebagai atlet? Kalau bukan duit mereka, kenapa nak halang?” soalnya.
Beliau turut menyeru agar mana-mana kepimpinan yang bakal menerajui MA selepas ini, sama ada kekal atau baharu perlu meletakkan kepentingan atlet melebihi kepentingan peribadi atau perebutan kuasa.
“Sukan sepatutnya menjadi ruang selamat untuk memartabatkan bakat dan pengorbanan atlet, bukannya dijadikan medan politik,” katanya.-UTUSAN










