KUALA LUMPUR: Malaysia tetap menghantar wakil untuk menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu hadapan bagi membincangkan penyelesaian antara Israel dan Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyokong sepenuhnya inisiatif oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Bin Salman untuk mempengerusikan mesyuarat itu.
“Mana-mana negara berhak untuk kemukakan pandangan mereka terutamanya keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza,” katanya yang ditemui media selepas solat Jumaat di Azzubair Ibn Awwam di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia supaya tidak menghadiri persidangan PBB di New York pada minggu hadapan.
Washington menegaskan bahawa mana-mana negara yang mengambil pendirian menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar Amerika Syarikat dan mungkin berdepan akibat diplomatik.
Trump turut menzahirkan penolakan terhadap sebarang pengiktirafan unilateral terhadap negara Palestin, sekali gus memperlihatkan pendirian tegas Washington dalam isu tersebut. – UTUSAN










