PERTUBUHAN Ikram Malaysia (Ikram) merakamkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan maut melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur-Barat, Isnin lalu.
Ikram menegaskankejadian ini bukanlah kes terpencil tetapi peringatan serius mengenai kelemahan sistem keselamatan jalan raya di Malaysia.
Statistik menunjukkan lebih 6,000 kematian jalan raya berlaku pada tahun 2023, menjadikan isu ini sebagai krisis nasional yang memerlukan tindakan segera.
Oleh itu, Ikram ingin mengemukakan beberapa cadangan strategik, antaranya:
– Penggunaan teknologi pintar seperti kamera kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan internet kebendaaan (IoT) untuk meningkatkan penguatkuasaan.
– Menaik taraf infrastruktur berisiko tinggi, termasuk laluan selekoh dan berbukit.
– Latihan pemanduan defensif dan pemantauan jadual pemandu bas bagi mengurangkan risiko keletihan.
– Kempen kesedaran berasaskan emosi termasuk penceritaan pengalaman mangsa kemalangan dan simulasi VR.
– Libat urus komuniti melalui pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
– Integrasi nilai keagamaan, menekankan kepentingan menjaga nyawa (hifz al-nafs) sebagai tanggungjawab moral.
– Pemantauan berterusan dengan sistem pengumpulan data masa nyata untuk intervensi yang lebih berkesan.
Ikram menekankan keselamatan jalan raya adalah amanah dan tanggungjawab bersama untuk bersatu dalam merealisasikan Sifar Kematian di Jalan Raya (Vision Zero) demi masa depan yang lebih selamat.-UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)










