Siapa sangka ‘kepulangan semula’ Nurly ke kampung sebagai

Siapa sangka ‘kepulangan semula’ Nurly ke kampung sebagai jenazah

KAMARIAH Abdul Latif bersama suaminya, Azman Mohammad menunjukkan naskhah kitab hafazan al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah di Kampung Gong Pasir, Besut, Terengganu. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Adik akan pulang semula dalam dua atau tiga hari lagi,” demikian kata-kata terakhir diungkapkan Nurly Shahirah Azman, 23, korban tragedi bas yang mayatnya ditemukan mendakap al-Quran dalam kemalangan di Jalan Raya TimurBarat (JRTB), Jeli-Gerik, Isnin lalu.

Ia dilafazkan Nurly Shahirah kepada kakaknya sebelum melangkah keluar dari rumah untuk menaiki bas tersebut, pulang ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ibu mangsa, Kamariah Abdul Latif, 60, berkata, anak bongsunya itu memberitahu akan pulang semula berjumpa adik beradik lain, namun tidak memperincikannya.

Katanya, siapa sangka, kepulangan yang dilafazkan itu bukan lagi sebagai seorang anak yang pulang bercuti, tetapi sebagai jenazah yang dibawa balik dalam tangisan hiba.

“Arwah seorang hafizah 30 juzuk al-Quran sejak tingkatan tiga. Kami tidak menduga dia terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut nyawanya. Walaupun kehilangannya, kami reda dengan ketentuan. Allah lebih menyayanginya.

“Dia hafal al-Quran sejak kecil. Umur sembilan tahun sudah khatam. Semuanya dia buat sendiri termasuk menulis kitab hafazan sejak tingkatan tiga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Gong Pasir di sini, semalam.

Menurut Kamariah, Nurly Shahirah merupakan anak yang tidak pernah menolak tanggungjawab, malah masa lapangnya banyak dihabiskan membantu keluarga.

“Kalau cuti, dia lah yang masak, kemas rumah, basuh kain dan sapu halaman. Malam pula dia tumpu kepada pelajaran dan menghafaz al-Quran. Anak yang tak pernah susahkan kami,” katanya.

Nurly Shahirah mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan tingkatan enam di Sekolah Menengah Agama Maarif Kampung Raja sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan Khas di UPSI dengan hasrat ingin membantu orang kurang upaya (OKU).

“Dia memang minat budak-budak OKU, walaupun dia tinggi dalam ilmu agama, dia hendak jadi guru pendidikan khas dan memenuhi permintaan saya yang ingin melihat kejayaannya dalam pendidikan,” katanya.

Menurut Kamariah, tiada tanda pelik sebelum pemergian, kecuali kata-kata Allahyarhamah yang membuatkan mereka termanggu dalam hiba apabila mengingatinya.

Katanya, kenangan terakhir yang masih terkesan ialah telekung dan baju raya sempena Hari Raya Aidiladha yang dibasuh Nurly Shahirah masih tergantung di biliknya.

“Saya terbayang kelibatnya membasuh baju raya, telekung dia yang tergantung, seolah-olah dia masih ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×