SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meminta Selangor agar segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan di Jalan Kuala Klawang–Genting Peras yang masih belum dibaiki sepenuhnya sejak insiden cerun runtuh akibat banjir pada tahun 2021.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya telah menyiapkan pembaikan di bahagian laluan yang terletak dalam daerah Jelebu, namun bahagian jalan di sempadan negeri Selangor masih belum dibaiki.
“Saya akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, supaya memberi keutamaan terhadap kerja-kerja pembaikan di laluan tersebut dan mengambil tindakan segera,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Tambah beliau, laluan berkenaan bukan sahaja penting untuk penduduk tempatan, tetapi juga berperanan sebagai laluan alternatif ke Lembah Klang tanpa perlu melalui Seremban.
“Kita sudah siapkan bahagian kita, kini kita harap Selangor dapat segera siapkan bahagian mereka. Laluan ini amat penting dan boleh dijadikan laluan alternatif serta berpotensi mengurangkan kesesakan trafik, khususnya ketika musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.
Mengulas projek pembangunan jalan raya lain, beliau berkata pembinaan jalan baharu dari Kampung Gagu ke Broga yang menelan kos sebanyak RM124 juta kini sedang giat dijalankan.
“Kerja-kerja pengambilan tanah telah selesai dan pembinaan telah dimulakan dua tahun lalu. Projek ini dijangka siap sepenuhnya dan boleh dibuka kepada pengguna menjelang tahun 2027.
“Laluan itu juga akan membantu mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun bagi program pencahayaan luar bandar dan sebagai inisiatif, Kerajaan Negeri menambah RM1 juta lagi peruntukan tahun ini khusus untuk pemasangan lampu solar.
“Sebanyak 175 unit lampu solar akan mula diagihkan dan dipasang di seluruh negeri bermula Ogos ini mengikut keperluan setempat,” jelas beliau. – UTUSAN










