Kembara penyokong tegar Liverpool

Kembara penyokong tegar Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemaraan pasukan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) membuakkan hasratnya untuk menyaksikan sendiri aksi pasukan itu dalam perlawanan akhir menentang Crystal Palace di Stadium Anfield.

Muhammad Azizun Nazri, 35, tambah bersemangat untuk menjejaki bandar The Reds itu, apabila mendapat khabar lebih 1.5 juta ahli Kelab Peminat Liverpool (LFC) dari seluruh pelosok dunia bakal berkampung di sana bagi meraikan perarakan juara EPL 2025.

Biarpun belum pernah mengembara sendirian tanpa keluarga, Muhammad Azizun nekad terbang ke sana pada 24 Mei lalu selepas membuat persiapan di saat terakhir termasuk membeli tiket kereta api dan bas secara dalam talian.

Malangnya, dia gagal mendapatkan tiket untuk masuk ke stadium kerana habis terjual.

“Saya menaiki penerbangan Emirates ke Manchester dan transit di Dubai. Memang agak gugup bila mengembara sendirian sehingga sanggup bawa satu beg sandang sahaja. Lagipun, saya pergi hanya untuk tiga hari.

“Oleh kerana kebanyakan penginapan di Liverpool mahal dan yang murah pula penuh, saya terpaksa buat keputusan untuk menyewa bilik Airbnb di Manchester walaupun jaraknya agak jauh sedikit dari Liverpool,” katanya.

Dia tiba di Airport Manchester pada pukul 7.40 pagi selepas menempuh perjalanan mendebarkan sejam sebelum mendarat apabila seorang lelaki dari Asia Barat cuba membuka pintu kapal terbang.

Mujurlah krew kabin menyedari perbuatan lelaki itu dan bertindak menghalangnya.

Selesai urusan di imigresen, Muhammad Azizun segera berjalan kaki ke stesen kereta api melalui jejantas yang disediakan tidak jauh dari pintu keluar.

Kereta api itu membawanya ke Stesen Piccadilly, Manchester dengan bayaran dikenakan sebanyak 8 pound.

“Perjalanan menaiki kereta api sangat pantas iaitu kira-kira 20 minit sahaja. Di sana saya tidak kelam-kabut beli tiket sebab semua sudah ditempah dan hanya imbas sahaja tiket dari dalam telefon.

“Setibanya di Piccadilly, saya menuju ke stesen bas pula untuk ke rumah yang disewa. Cuaca ketika itu sejuk dengan suhu 12 darjah celsius.

“Di pintu masuk stesen, saya tertarik melihat tujuh patung tembaga berbentuk askar yang beratur sambil memegang bahu patung di hadapan mereka,” katanya.

Patung-patung itu menyerupai pejuang sebenar bagi menghargai jasa mereka dalam Perang Dunia Pertama sehingga mengalami buta akibat kecederaan semasa berperang.

Bas berhenti betul-betul di hadapan rumah yang disewanya di 85 Belle Vue St Manchester.

“Di rumah itu, saya bertemu dengan Hafiz dari Ampang, Selangor. Kami berkenalan dalam kumpulan LFC dan berpakat untuk menyewa di situ.

“Selepas meletakkan beg, kami terus ke Stadium Anfield dengan menaiki tren dari Manchester Piccadilly ke Liverpool Lime Street,” katanya.

Perjalanan ke Liverpool mengambil masa 45 minit dengan tiket berharga kira-kira 11 pound yang dibayar menggunakan aplikasi Northern Trains Ticket & Times Rails.

Gagal menyaksikan perlawanan antara Liverpool dan Crystal Palace berikutan terlalu padat dengan orang ramai, Muhammad Azizun hanya menunggu di luar stadium bersama ribuan penyokong LFC dan mendengar sorakan penonton meraikan kejayaan The Reds.

Usai perlawanan, dia menghabiskan waktu terluang dengan bersiar-siar di sekitar Liverpool yang sebahagian bangunannya dipenuhi dengan lukisan mural pasukan kegemarannya itu.

Dia juga tidak melepaskan peluang bersiar-siar di tepi laut, Albert Dock iaitu kawasan pelabuhan bersejarah dengan bangunan yang pertama di England dibina dengan besi dan batu-bata pada tahun 1846.

“Di sini, terdapat beberapa muzium seperti maritim dan The Beatles.

“Saya dan Hafiz turut menikmati makan malam menu Thai dengan harga sekitar 30 pound. Selepas makan, kami pulang ke Manchester kira-kira pukul 10 malam,” katanya.

Nyanyi lagu tema
CUACA sejuk menyelebungi ketika dua lelaki ini melangkah keluar dari rumah pada pukul 7 pagi untuk ke Liverpool.

Suasana di sepanjang jalan sesak dengan peminat berpakaian jersi berwarna merah.

Mereka sudah memenuhi laluan yang bakal dilalui bas The Reds sejak pukul 9 pagi lagi walaupun perarakan hanya bermula pukul 2.30 petang.

Masing-masing ceria dan bersemangat menyanyikan bersama lagu-lagu tema pasukan itu.

Perarakan membawa pemain dan piala kemenangan bermula di Allerton Maze, di selatan bandar itu menuju ke utara di Queens Drive, Mill Bank, West Derby Road Islington, Leeds Street,The Strand Route dan berakhir di Blundell Street.

“Perasaan cukup terharu melihat pemain seperti Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Luiz Diaz, Andrew Robertson dan Darwin Nunez di atas bas.

Paling tidak boleh dilupakan, mereka hampir terkandas di Liverpool apabila stesen kereta api ditutup awal menyebabkan ramai yang gagal pulang ke destinasi masing-masing.

Muhammad Azizun bersama dua rakan dari Malaysia dan seorang warga Poland terpaksa menempah kereta e-hailing untuk pulang ke Manchester dengan bayaran 100 pound.

Walaupun mahal tetapi mereka tiada pilihan lain ekoran kebasahan akibat hujan.

“Keesokan harinya, kami bersiar-siar di Manchester. Walaupun teringin ke London, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana jaraknya yang lama iaitu empat jam dengan menaiki kereta api.

“Kami sempat melawat stadium Manchester United di Old Trafford sebelum pulang ke tanah air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×