PUTRAJAYA: Perbicaraan kes saman dikemukakan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual yang dijadualkan bermula minggu depan telah ditangguhkan.
Ia selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebulat suara membenarkan permohonan penggantungan sementera (ad interim stay) perbicaraan tersebut sehingga 21 Julai ini.
Pada tarikh tersebut, Mahkamah Rayuan akan mendengar penggantungan penuh perbicaraan tersebut sehingga rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang didengar dan diputuskan.
Pengurusan kes rayuan tersebut ditetapkan pada 2 September ini.
“Kami telah membuat keputusan dan ia adalah sebulat suara. Permohonan perayu (Anwar) adalah untuk mendapatkan penggantungan sementara (ad interim stay) bagi semua prosiding termasuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga pendengaran penangguhan penuh didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini.
“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, kami berpandangan bahawa mengikut Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa untuk membuat perintah ad interim bagi memelihara integriti permohonan penangguhan penuh Anwar sehingga ia diputuskan.
“Sehubungan itu, kami dengan ini mengeluarkan perintah ad interim untuk menangguhkan kesemua prosiding termasuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga pelupusan permohonan penangguhan penuh oleh perayu,” kata Hakim Supang pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.
Pada prosiding hari ini, Anwar diwakili peguam-peguam, Alan Wong Teck Wei dan Datuk Seri Rajasegaran S. Krishnan manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Terdahulu ketika berhujah, Teck Wei menyatakan terdapat perayu (Anwar) yang kini memegang jawatan Perdana Menteri mempunyai risiko yang tidak dapat dipulihkan sekiranya perbicaraan diteruskan sebelum permohonan penangguhan penuh diputuskan dan kesannya tidak dapat diperbaiki.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa jadual Anwar selaku Perdana Menteri sangat sibuk dan perbicaraan kes saman itu akan mengalihkan perhatian dan sumber kerajaan selain ia boleh mengganggu dan mencacatkan fungsi Pejabat Perdana Menteri.
“Secara ringkasnya, responden (Muhammed Yusoff) tidak akan diprejudiskan sekiranya perbicaraan ditangguhkan berbanding responden yang kini memegang jawatan awam. Kes ini bukan satu kes saman sivil yang biasa,” kata peguam itu.
Sementara itu, Muhammad Rafique menghujahkan bahawa tiada sebarang alasan perundangan dan prosedur yang membolehkan perbicaraan tersebut ditangguhkan memandangkan kes saman itu telahpun `matang’ untuk dibicarakan.
“Perayu telah angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022 dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 6 Jun 2024. Beliau telah mengetahui mengenai tarikh bicara ini setahun sebelum perbicaraan bermula tetapi hanya mengambil tindakan (untuk menangguhkan) 23 hari sebelum perbicaraan.
“Segala sumber perundangan telahpun dijalankan bagi memastikan saman ini didengar dan sebarang penangguhan pada saat ini akan mengganggu jadual mahkamah dan memprejudiskan hak responden (Muhammed Yusoff) untuk mendapatkan keadilan dalam waktu yang sewajarnya. Hak untuk mendapatkan keadilan adalah sesuatu yang penting,”katanya.
Pada 4 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan tersebut dan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan, antaranya menyentuh mengenai kekebalan seseorang Perdana Menteri daripada tindakan saman sivil.
Hakim Roz Mawar Rozain ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dakwaan Anwar bahawa saman yang difailkan oleh Muhammed Yusoff sebelum Presiden PKR itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri merupakan satu pencabulan terhadap kebebasan peribadi.
Tambah hakim itu, permohonan Anwar tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan dan turut menyifatkan tindakan tersebut bertujuan untuk mencipta kekebalan baharu yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selepas menolak permohonan Anwar, Hakim Roz Mawar turut memerintahkan Presiden PKR itu membayar kos sebanyak RM20,000.
Menerusi permohonan yang difailkan pada 23 Mei lalu melalui firma peguam yang baharu dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. – UTUSAN










