HULU TERENGGANU: Belum ada mana-mana dalam kalangan pemimpin Pas yang mampu menggantikan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, beliau secara peribadi melihat Abdul Hadi masih sangat diperlukan bagi menerajui pucuk pimpinan Pas ketika ini.
“Saya sebenarnya tidak berhasrat mana hendak mengulas pun, sebab ini parti orang, bukan parti kita (UMNO). Setakat ini saya rasa kepemimpinan Pas, tidak nampak siapa yang boleh menggantikan beliau dan ini pendapat peribadi saya, bukan parti.
“Kepemimpinan beliau hari ini payah lagi orang lain hendak tandingi dan bagi saya dia masih diperlukan. Biasalah dalam politik ada orang yang nak, begitu juga sebaliknya,” katanya ketika diminta mengulas desas-desus Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan berundur.
Beliau ditemui pemberita sewaktu Program Korban Perdana UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Ajil, di sini semalam.
Kata Rozi, beliau juga sudah agak lama tidak berjumpa Abdul Hadi dan tidak mengetahui tahap sebenar kesihatan Ahli Parlimen Marang itu.
Terdahulu, Abdul Hadi seakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan Presiden Pas dan hasrat itu dikatakan disampaikan kepada barisan kepemimpinan tertinggi dalam satu retreat parti baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Rozi berkata, UMNO Terengganu menggerakkan 20 buah van jenazah daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu menguruskan jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak.
“Kami telah hantar ambulans dan van jenazah NGO khususnya dari Besut termasuk set kelengkapan jenazah serta pasukan khidmat pengurusan jenazah,” katanya.-UTUSAN.










