GERIK: Seorang mangsa bas terbalik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris ((UPSI) awal pagi semalam mendakwa terhidu seperti bau hangit sebelum nahas berlaku.
Pelajar Jurusan Pendidikan Bahasa Melayu, Siti Nur Najihah Shihabuddin, 21, mendakwa, namun dia dan rakannya tidak pasti bau apa yang mungkin datang dari luar kenderaan itu.
“Sebelum terbabas, saya dan rakan memang ada terhidu bau hangit tetapi kami fikir bau itu mungkin datang dari luar. Kebanyakan yang berada di dalam bas pun ketika kejadian berlaku sedang tidur,” katanya ketika ditemui di Hospital Gerik..
Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas merasakan bas dinaiki seolah-olah berpusing sebelum terbalik.
Katanya, ketika itu dia melihat keadaan di dalam bas dipenuhi darah dengan ada rakan-rakan tersepit dan mengalami kecederaan parah.
Seorang lagi pelajar, Nur Irdina Huri, 22, berkata, dalam keadaan gelap ketika nahas itu dia terpaksa merangkak keluar dari bas mengikut lubang kecil untuk menyelamatkan diri.
Dakwanya, bas yang dinaiki mereka bergerak laju dan terhuyung-hayang semasa menuruni jalan yang berbukit di lokasi kejadian.
“Ketika kejadian saya tidak tidur. Ia berlaku terlalu pantas dan saya tidak dapat membantu rakan kerana keadaan di lokasi sangat gelap,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Yusrina Yusof, 23, pelajar tahun satu jurusan Pendidikan Teknologi Maklumat berkata, jeritan rakan-rakan meminta tolong kedengaran sebaik sahaja bas dinaiki mereka terbabas.
“Ketika itu saya dan rakan-rakan keluar untuk menyelamatkan diri. Beberapa orang awam juga ada membantu membawa keluar yang lain,” katanya yang patah tulang bahu dan luka di badan. – UTUSAN










