Anak-anak kita kenal kerchang, sumpit, bertam?

Anak-anak kita kenal kerchang, sumpit, bertam?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HA, tak boleh kahwin! Itu gurauan seorang sukarelawan Jungle School Gombak (JSG) apabila saya gagal merungkai simpulan tali pada permainan tradisional Orang Asli, iaitu kerchang kawin.

Berteraskan uji minda, kerchang kawin suatu ketika dahulu digunakan oleh pasangan suami isteri untuk menguji bakal menantu lelaki sama ada sudah bersedia untuk menjaga serta bertanggungjawab sebagai ketua keluarga kepada anak perempuan mereka.

Permainan yang popular dalam kalangan etnik Semai, Mahmeri dan Temuan itu antara yang dipertontonkan kepada 22 pelancong asing kebanyakannya dari Amerika Syarikat dan Kanada yang berkunjung ke JSG, baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seperti mereka juga, ini merupakan pengalaman pertama kali saya didedahkan dengan warisan dan budaya Orang Asli walaupun saya sendiri seorang warganegara Malaysia!

Program bermula dengan pengenalan kepada sejarah dan kehidupan etnik Orang Asli yang ada di Semenanjung oleh Pengasas JSG, Mejar (B) Kalam Pie di Muzium Orang Asli, Gombak.

Para pelancong asing tersebut kagum kerana terdapat begitu banyak etnik Orang Asli di Semenanjung.

Ada tiga suku kaum utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Daripada tiga suku kaum itu dipecahkan pula kepada beberapa etnik iaitu Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh (Negrito); Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Meri (Senoi); serta

Temuan, Jakun Semalai, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Kenaq (Melayu Proto).

Paling mengagumkan kami daripada penerangan Kalam itu, berdasarkan kajian genetik, Orang Asli merupakan populasi tertua di dunia.

Mengikut kajian asid deoksiribonukleik (DNA), etnik Semang sudah wujud sejak lebih 60,000 tahun dahulu.

Malah, Negrito di Semenanjung masih hidup sampai sekarang berbanding etnik sama di Filipina dan Indonesia yang dikatakan sudah tiada lagi.

Barulah kami faham, kewujudan Orang Asli yang cukup lama menyebabkan genetik mereka tidak sama dengan masyarakat masa kini.

Ini faktor kenapa mereka masih sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan moden sehingga sekarang.

Sudah puas ‘sejuk-sejuk’ di dalam bangunan muzium yang berpenyaman udara, tibalah masanya kami menikmati suasana kehidupan sebenar masyarakat Orang Asli.

Kami dibawa ke Hutan Simpan Ulu Gombak.

Difahamkan, apa yang unik tentang kawasan ini adalah adanya 10 etnik Orang Asli sama-sama mendiaminya secara harmoni dan situasi sedemikian dikatakan jarang berlaku.

Sepatutnya ada aktiviti meredah hutan untuk mengenali tumbuhan dalam hutan selain belajar ikhtiar hidup.

Namun, disebabkan kesemua pelancong asing tersebut merupakan warga emas, ia dibatalkan.

Maka program dilaksanakan Kalam dengan dibantu Raman Bah Tuin dari etnik Semai diteruskan di tepi Sungai Gombak sahaja.

Nasib baik, kalau tidak habislah kulit mulus kami ‘dijamah’ nyamuk dan pacat!

Kami dibawa melihat produk dihasilkan oleh Orang Asli dan warisan mereka termasuk kerchang kawin yang saya ceritakan pada awal tadi.

Rupa-rupanya ada 10 jenis kerchang yang berbeza tahap kesukaran masing-masing iaitu kerchang kawin (paling mudah), kerchang kawin 2, kerchang jakrenoi, binsulong, lidah buaya, tekak buaya, jerat tupai, buai lateb 1, buai lateb 2 dan buai lateb 3 (paling susah).

Seterusnya acara paling mendapat sambutan iaitu menyumpit yang digunakan Orang Asli untuk berburu. Kami perlu menyumpit ke arah sasaran iaitu belon yang diletakkan pada dinding sebuah pondok.

Ternyata masing-masing persis seorang profesional apabila dengan sekali tiup sahaja, damak mengenai sasaran.

Mungkin pengurusan JSG perlu letakkan sasaran agak jauh sedikit pada masa akan datang!

Kami kemudian diajar menganyam daun bertam yang biasanya dijadikan atap atau dinding rumah.

Nampak mudah tapi berpeluh jugalah nak siap.

Pada masa sama, Kalam menunjukkan tumbuhan-tumbuhan liar yang boleh dijadikan ubat atau penawar.


Nasi dalam buluh
Matahari sudah terpacak di atas kepala. Perut pun sudah lapar. Tepat pada waktunya, hidangan makan tengah hari dihidangkan.

Menunya cukup spesial, iaitu nasi, ayam dan ikan dimasak dalam buluh yang merupakan resipi turun-temurun masyarakat Orang Asli.

Saya lihat masing-masing tidak kekok untuk menikmatinya buat pertama kali. Memang lazat!

Ternyata tempoh empat jam mengikuti aktiviti anjuran JSG itu benar-benar membuatkan para pelancong terbabit teruja.

Saya tanya mereka dan kebanyakannya seonok kerana dapat menikmati pengalaman baharu daripada budaya asing.

Sebenarnya program JSG bukannya baharu, sudah dilaksanakan sejak 2011 lagi.

Matlamatnya untuk mendedahkan serta mendidik masyarakat umum tentang keindahan warisan dan budaya Orang Asli di negara ini.

Juga gaya hidup mampan etnik peribumi itu di dalam hutan meskipun pembangunan moden pesat berkembang di sekeliling mereka.

Malah usaha JSG diiktiraf dunia apabila memenangi 13 anugerah dalam Pertandingan Inovasi Daya Cipta Antarabangsa di Kanada (iCAN) dan memenangi enam Pengurusan Projek Hijau di dalam negara secara serentak sejak 2020 hingga 2023.

JSG juga disenaraikan dalam Laporan Iklim Remaja untuk Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Malah, jelas Kalam, program sedemikian bukan sahaja dapat memperkenalkan kehidupan Orang Asli kepada dunia tetapi juga memberi pendapatan kepada etnik tersebut menerusi ekopelancongan.

Namun, apa yang lebih utama adalah usaha JSG sebegini harus disokong dalam situasi anak-anak muda khususnya Orang Asli yang semakin melupakan resam budaya dan warisan mereka sendiri.

Janganlah sampai suatu hari nanti nak melihat kesemua ini hanya ada di muzium!

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini