Komuniti hasilkan produk herba dari Banjaran Nakawan

Komuniti hasilkan produk herba dari Banjaran Nakawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJARAN Nakawan sepanjang 36 kilometer bermula dari Bukit Batu Putih, Kuala Perlis sehingga ke Wang Kelian, Padang Besar mempunyai tarikan tersendiri yang kaya dengan keindahan flora dan fauna.

Istimewanya, banjaran berusia 480 juta tahun itu juga memiliki lebih 60 jenis pokok herba yang tumbuh meliar dan sering digunakan komuniti setempat sejak zaman berzaman.

Tumbuhan herba yang terdapat di sepanjang banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia itu juga mempunyai pelbagai manfaat dan khasiat khususnya untuk kesihatan dalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara spesis herba yang terdapat di banjaran tersebut ialah tongkat Ali, kacip fatimah, setahun sebuku, kerbau jalang, akar ribu, kunyit akar, daun bidara, jejarum kuning, setahun sehelai, akar larak, belimbing tanah, akar kesinai rancang besi dan derhaka guru.

Berikutan potensi besar itu, komuniti Wang Gunung bersama syarikat MEP Ventures Sdn. Bhd. mengambil inisiatif membangunkan pelbagai produk herba di bawah jenama Nakawan Herbs untuk dijadikan sebagai tarikan baharu di Perlis.

Wakil komuniti, Lely Suriana Puteh berkata, usaha memperkenalkan produk itu bermula sejak 2022 memandangkan banjaran itu mempunyai pelbagai hasil alam semula jadi yang memberi banyak manfaat.

Katanya, Banjaran Nakawan sememangnya kaya dengan hasil bumi yang mempunyai khasiat tersendiri dan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Oleh itu, komuniti di sini melihat peluang tersebut untuk mempromosikan keunikan di banjaran ini dengan menghasilkan produk herba yang dapat diperkenalkan sebagai tarikan baharu selain limpahan ekonomi untuk penduduk setempat,” katanya baru-baru ini.

Lely Suriana berkata, antara produk dihasilkan di bawah jenama Nakawan Herbs itu adalah minyak kelapa dara Tok Gunung, minyak ikan kedak Tok Gunung, minyak serbaguna Tok Gunung, tungku herba Tok Gunung dan madu lebah Tok Gunung.

Katanya, produk-produk yang dihasilkan itu mempunyai pelbagai kelebihan kerana berasaskan sumber asli dan tidak mengandungi sebarang bahan kimia.

“Buat masa ini, kesemua produk dipasarkan dalam negeri dahulu dan kita merancang untuk mengembangkan pemasaran di seluruh negara,” katanya.

Rujuk orang lama
Lely Suriana mencari hasil herba di banjaran itu bersama suaminya, Hamizat Had, 53, serta komuniti setempat sejak lebih 15 tahun lalu.

Malah, mereka turut merujuk kepada orang-orang lama di kawasan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung jenis-jenis herba.

“Aktiviti mencari herba ini bukan perkara mudah, contohnya untuk mendapatkan urat emas.

“Ditambah pula dengan keadaan banjaran ini yang agak mencabar dengan ketinggian mencecah sehingga 200 meter.

“Selain itu, kita juga berdepan ancaman haiwan-haiwan liar yang sekali gus menjadi antara cabaran dalam usaha untuk mendapatkan hasil herba di Banjaran Nakawan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni berkata, komunti Wang Gunung memainkan peranan mengeluarkan hasil hutan batu kapur di banjaran itu untuk dijadikan produk yang signifikan bagi penjagaan kesihatan.

Pihaknya sememangnya mengalu-alukan penglibatan komuniti untuk mempromosikan produk-produk itu.

“Selain itu, komuniti-komuniti ini juga dapat menjadi mata dan telinga buat pihak jabatan untuk memastikan hutan kita terpelihara dan tiada pencerobohan,” katanya.

Tambahnya, komuniti Wang Gunung juga akan dijemput menyertai Program Perlis Forest Community Empowerment (PS-Force) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi melebarkan lagi promosi produk herba Nakawan.

“Program yang dijalankan ini bertujuan memasarkan produk-produk dan perkhidmatan komuniti-komuniti hutan di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini