Harga minyak mentah susut hampir 23 peratus pada Mei - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah susut hampir 23 peratus pada Mei

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga purata minyak mentah Brent bagi Mei 2025 mencatat penurunan sebanyak 22.9 peratus tahun ke tahun (yoy) dan 3.8 peratus suku ke suku (qoq) kepada AS$64.01(RM270.78) setong, menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh tahun sehingga kini 2025, harga minyak mentah Brent adalah 11.1 peratus lebih rendah berbanding purata tahun 2024 yang mencatatkan paras AS$71.02 (RM300.43) setong.

Menurutnya, penurunan harga itu dipengaruhi oleh pelonggaran pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutunya (OPEC+), peningkatan pengeluaran dari negara bukan anggota OPEC seperti Amerika Syarikat (AS), Brazil dan Kanada, serta pertumbuhan permintaan yang perlahan susulan cabaran ekonomi global.

“Jualan kenderaan elektrik yang semakin meningkat ke tahap rekod baharu turut memberi tekanan ke atas permintaan minyak.

“Selain itu, ketegangan perdagangan antara AS dan beberapa negara lain serta peningkatan inventori minyak global turut menyumbang kepada penurunan harga minyak mentah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

MIDF Research berkata, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menjangkakan pertumbuhan permintaan minyak mentah sebanyak 740,000 tong sehari (kbpd) bagi 2025, susut kira-kira 24 peratus berbanding unjuran sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, OPEC+ kekal optimis dengan unjuran pertumbuhan permintaan sebanyak 1.4 juta tong sehari (mbpd), terutamanya daripada negara-negara bukan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sementara itu, harga gas asli Henry Hub meningkat 38.8 peratus tahun ke tahun dan 1.1 peratus suku ke suku pada April 2025 kepada purata AS$3.46 (RM14.63) setiap juta unit haba British (pMMBtu).

“Kenaikan harga gas asli didorong oleh permintaan tinggi bagi penjanaan kuasa susulan suhu musim bunga yang lebih panas, kekangan eksport serta gangguan bekalan, selain ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan transit gas.

“Peralihan berterusan daripada arang batu kepada gas di Asia dan Eropah turut menjadi pemacu utama. Namun, lebihan bekalan kapal LNG (UNGC) dalam jangka masa terdekat dijangka memberi tekanan kepada harga gas,” katanya.

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, kerjasama serantau menerusi Sidang Kemuncak ASEAN memberikan isyarat positif kepada sektor minyak dan gas, khususnya dalam aspek pengangkutan LNG serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

Katanya, projek tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen turut diintegrasikan dalam pembangunan sektor minyak dan gas konvensional, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) terus menunjukkan pendekatan agresif dalam aktiviti huluan dengan peruntukan pelaburan sebanyak RM50 juta bagi 73 telaga pembangunan pada tahun ini.

“Syarikat minyak negara itu juga terus mengembangkan kehadirannya di Suriname, Angola, Brazil, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, selain memiliki 15 peratus kepentingan dalam projek LNG Masela di Indonesia,” jelasnya.

MIDF Research menjangkakan harga minyak mentah kekal di bawah paras AS$65 (RM274.97) setong berikutan lebihan bekalan yang berterusan dan permintaan yang masih lemah.

“Inventori dijangka terus meningkat, manakala ketidaktentuan dasar perdagangan antara Amerika Syarikat dan China kekal sebagai risiko utama.

“Harga gas asli dan LNG pula dijangka pulih selepas tamat tempoh penyelenggaraan fasiliti global pada Mei 2025, manakala harga Brent diunjur berada dalam julat AS$60 (RM253.82) hingga AS$65 (RM274.97) setong, dengan purata sekitar AS$62 (RM262.28) pada Jun 2025,” katanya.

Firma itu mengekalkan saranan “neutral” ke atas sektor minyak dan gas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×