Sarah Lezito, pelagak ngeri profesional dunia

Sarah Lezito, pelagak ngeri profesional dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARAH Lezito tidak menyangka minat terhadap motosikal sejak kecil membuka jalannya sebagai pelakon lagak ngeri di pentas Hollywood.

Wanita berusia 32 tahun itu pernah menggantikan Scarlett Johansson sebanyak dua kali dalam filem Avengers 2 dan Black Widow, selain muncul dalam 12 filem lain termasuk The Batman.

Beliau merupakan antara pelagak ngeri wanita yang menunggang motosikal dan memiliki ramai pengikut di media sosial, sekali gus membantu melonjakkan namanya ke Hollywood.

Dalam temu bual bersama AFP di trek latihan peribadinya di tengah ladang anggur berhampiran Epernay, ibu kota Champagne di timur laut Perancis, Sarah menunjukkan kepakarannya.

Baru sahaja menunggang motosikal Kawasaki merah krom miliknya, beliau terus meluncur laju di atas trek sambil melakukan aksi memukau.

“Ini adalah jiwa saya,” katanya selepas melakukan beberapa aksi menentang graviti termasuk berdiri di atas motosikal seberat 200 kilogram (kg) sebelum melompat ke palang hendal.

Ramai menyangka tindakannya itu semata-mata kerana tuntutan kerja, namun baginya ia adalah cara melegakan tekanan.

BERKAT VIDEO YOUTUBE

Beliau yang kini terkenal sebagai ‘juara lagak ngeri dunia’ meskipun tiada kejuaraan rasmi diiktiraf, memulakan kerjaya akrobatik pada usia muda di ladang keluarganya.

“Saya melakukan aksi lagak ngeri selepas menonton video. Tiada seorang pun dalam keluarga terlibat dalam sukan permotoran.

“Ayah cuma ada ATV pertanian, bukan untuk sukan, tetapi saya membuat wheelie dengannya di tengah ladang,” katanya.

Daripada situ, Sarah mula memuat naik video aksinya ke YouTube.

Pada Mac 2013, sebuah video kompilasi bertajuk One out of billion girls mengubah hidupnya.

“Disebabkan video itu, mereka mula perasan kewujudan saya,” katanya merujuk kepada produksi filem blockbuster Hollywood, Avengers 2.

Beberapa bulan kemudian, beliau nekad meninggalkan pengajian dalam pembuatan wain dan terbang ke Korea Selatan bagi melakonkan aksi lagak ngeri menggantikan Scarlett Johansson dalam filem tersebut.

Sarah yang cepat menyesuaikan diri dengan dunia aksi akhirnya memutuskan untuk menjadi pelagak ngeri profesional dan muncul dalam beberapa filem besar seperti Inferno, Millenium serta The Batman.

 

KEMALANGAN SERIUS
Walaupun tidak takut melakukan aksi ngeri di media sosialnya, namun Sarah mengakui pernah melalui detik mencabar semasa penggambaran.

“Saya terpaksa meredah api dalam Bad Girl, sebuah filem yang tidak pernah ditayangkan. Di atas kertas ia nampak mudah, tetapi ketika itu saya tidak memakai topi keledar,” katanya.

Pada musim panas 2023 semasa penggambaran The Killer arahan David Fincher di Paris yang dibintangi Michael Fassbender, Sarah mengalami kemalangan serius.

“Saya tercampak dari motosikal, walaupun kelajuannya tidak begitu tinggi, tetapi cukup untuk menyebabkan saya jatuh dan topi keledar retak,” katanya.

Beliau kemudian dikejarkan ke unit kecemasan akibat kecederaan kepala.

Kejadian tersebut memberi kesan mendalam hingga Sarah memutuskan berehat seketika dan menangguhkan kerjaya di Hollywood.

Kini, beliau memberikan sepenuh perhatian kepada saluran media sosial, dengan berkongsi aksi lagak ngeri kepada lebih 30 juta pengikut, termasuk 9.5 juta di Instagram.

Garajnya juga berfungsi sebagai studio, lengkap dengan trofi YouTube dan pelbagai hadiah daripada peminat.

Di situ juga Sarah meluangkan masa membaiki kira-kira 10 motosikal miliknya.

“Selagi masih seronok duduk di atas motosikal, saya akan teruskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×