KANGAR: Musim Aidiladha membawa limpahan rezeki buat seorang anak muda dari Padang Behor, di sini apabila berjaya meraih pendapatan sekitar RM40,000 hasil jualan pisau sembelihan di bawah jenama tempatan, Steel Technica.
Pemiliknya, Shaikh Ahmad Haikal Shaikh Rohmat, 28, berkata. lebih 90 bilah pisau sembelihan berjaya dijual kepada pelanggan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, pisau sembelihan dihasilkan mendapat permintaan pada tahun ini malah ada di antara pelanggan turut bertanyakan mengenai peralatan itu sejak beberapa bulan lalu lagi.
“Kami sebenarnya sudah tidak menerima tempahan memandangkan semua pisau-pisau sembelihan ini dihasilkan secara ready stock untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Selain menghasilkan pisau sembelihan, kami turut memasarkan pisau lapah, parang tulang dan pisau merewang khas bersempena Aidiladha ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Steel Technica dibangunkan sejak empat tahun lalu.
Selain pisau sembelihan, jenama itu turut menawarkan pisau lapah, parang tulang dan pisau merewang khusus sempena musim ibadah korban.
Menurut siswazah Kejuruteraan Metalurgi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu, pisau keluarannya dijual pada harga antara RM190 hingga RM1,300, bergantung kepada rekaan, bahan dan fungsi.
“Saya amat menekankan aspek kualiti, prestasi dan ergonomik dalam setiap bilah pisau. Kami hanya menggunakan keluli berkualiti tinggi, sesuai untuk kegunaan sebenar, bukan sekadar hiasan,” katanya. –UTUSAN











