Galak kecerdasan buatan dalam pendidikan tinggi

Galak kecerdasan buatan dalam pendidikan tinggi

UNIVERSITI di Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan pembelajaran adaptif berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai satu strategi pembaharuan pendidikan tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi masih pada peringkat awal di Malaysia. Walaupun Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) seperti Moodle dan Google Classroom digunakan secara meluas, elemen adaptif masih belum diintegrasikan secara menyeluruh.

Namun begitu, terdapat usaha dari universiti awam tertentu untuk memulakan kajian dan pelaksanaan sistem berasaskan AI, antaranya melalui projek-projek penyelidikan atau kolaborasi industri. Platform antarabangsa seperti Khan Academy, EdApp, Coursera dan Smart Sparrow turut digunakan oleh segelintir pensyarah untuk memberi peluang pembelajaran tambahan secara kendiri kepada pelajar. Platform ini mengandungi elemen adaptif yang boleh dijadikan asas kepada pelaksanaan lebih meluas di peringkat institusi.

Untuk memastikan kejayaan pembelajaran adaptif di universiti tempatan, beberapa syarat perlu dipenuhi. Pertama ialah pembangunan infrastruktur digital yang kukuh dan mampan. Sistem AI memerlukan akses kepada data pelajar yang besar dan analitik masa nyata. Oleh itu, pelaburan dalam sistem

Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang terbuka kepada integrasi AI adalah penting.

Kedua, pensyarah serta tenaga akademik perlu diberikan latihan dan pendedahan berterusan supaya dapat memanfaatkan potensi teknologi ini. Banyak tenaga pengajar masih belum memahami konsep pembelajaran adaptif, apatah lagi merancang pengajaran yang sesuai dengan pendekatan tersebut.

Ketiga, isu privasi dan etika penggunaan data perlu ditangani dengan serius. AI memerlukan data pelajar yang terperinci untuk berfungsi secara optimum. Oleh itu, dasar perlindungan data pelajar harus dibangunkan secara jelas dan telus.

AI bukan pengganti kepada pensyarah, sebaliknya ia berfungsi sebagai alat bantuan untuk meningkatkan kecekapan dan fokus pengajaran. Dengan bantuan AI, pensyarah boleh mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan tambahan dengan lebih awal dan menyusun strategi intervensi secara tersasar.

Bagi pelajar pula, mereka perlu diberi pendedahan kepada cara penggunaan sistem pembelajaran adaptif. Tanpa pemahaman yang jelas, pelajar mungkin tidak memanfaatkan teknologi ini secara optimum. Justeru, pengenalan awal melalui minggu orientasi atau bengkel khas boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan sistem ini.

Malaysia sebenarnya meletakkan asas yang kukuh melalui pelancaran Dasar Kecerdasan Buatan Negara. Pelaksanaan AI dalam pendidikan merupakan salah satu fokus utama dasar tersebut. Namun, pelaksanaannya di peringkat universiti memerlukan komitmen semua pihak, daripada pentadbiran universiti, kementerian, pensyarah hingga ke pelajar itu sendiri.

Dengan potensi besar yang ditunjukkan oleh negara-negara maju dan kesediaan teknologi yang semakin berkembang, sudah tiba masanya universiti di Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan pembelajaran adaptif berasaskan AI sebagai satu strategi pembaharuan pendidikan tinggi. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SUHANA SAAD
Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×