Satu daripada bidang yang menjadi penanda aras mengukur tahap kemajuan sebuah tamadun bangsa adalah bidang persuratan dan kesusasteraaan.
Ini kerana kesusasteraan dikaitkan dengan cara hidup sebuah bangsa, budaya, amalan dan nilai hidupnya.
Memperkaya bidang sastera dan penulisan ini justeru sangat penting supaya kemajuan sesuatu bangsa dapat diukur dengan menerusi khazanah penulisan dan persuratan.
Pengayaan bidang penulisan dan kesusasteraan banyak digerakkan oleh usaha penulis yang berkarya pelbagai genre.
Ini kerana karya yang mereka hasilkan akan mengambil kira persekitaran mereka, cara hidup, budaya masyarakat.
Tekanan hidup ini mendorong kepada peghasilkan karya bagi menggambarkan nasib masyarakat zamannya, apa yang perlu dilakukan dan faktor luaran yang menekan termasuklah antaranya layanan kerajaan yang tidak sepatutnya seperti menindas dan respons masyarakat menjadi nukleus pencetus. Bermakna karya sastera dan juga seni kadangkala manifestasi luahan perasaan terhadap tekanan tertentu yang diterima mereka.
Bermakna perkembangan bidang persuratan dan sastera sesebuah bangsa menunjukkan kekayaan tamadun bangsa berkenaan. Lahirlah karya-karya berat dan menjadi penanda hala tuju sesuatu bangsa.
Satu lagi kaedah yang biasanya digunakan untuk mempercepatkan karya bermutu adalah menerusi penganjuran program program persuratan dan sastera seperti bengkel latihan, wacana dan sayembara penulisan.
Namun ada satu pendekatan menarik dalam usaha meningkatkan penghasillan bidang penulisan bidang kesusasteraan yang di perkenalkan baru-baru ini iaitu bermula dengan penganjuran bengkel yang kemudiannya menjadi pencetus nyalaan obor pengayaan bidang penulisan menerusi penerimaan manuskrip daripada penulis sastera tanah air.
Inisiatif tersebut diperkenalkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA), kelihatan berjaya apabila banyak manuskrip diterima untuk dinilai dan diterbitkan.
Justeru apabila PENA mengambil inisiatif melaksanakan penerbitan Buku Madani , sesuatu yang wajar mendapat penghargaan dan pujian khalayak sastera terutama penulis.
Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, berkata kosnep itu tercetus daripada buku yang ditulis oleh Sir Thomas More, berjudul Utopia (1516). Kata beliau:
´Komunitinya yang berkongsi nilai dan cara hidup yang sama dan ´sistem kehidupan yang tiada jenayah,
´adil dalam penghakiman, hierarki sosial, pertanian, pendidikan, adat perkahwinan, pakaian, dan kematian.
Namun kesusasteraan harus kekal sebagai pencipta gagasan, bukan hanya pengekor gagasan kerana bidang tersebut membuka ruang kreativiti dari segi olahan mahu pun pemikiran.
Kata beliau, masyarakat atau pemimpin masyarakat yang perlu mencari mutiara fikir dalam karya sastera.
Intisari projek penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani diwujudkan bertujuan memperkasa enam nilai teras konsep Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan melalui penerbitan karya berkualiti yang membina budaya ilmu, mengangkat kearifan tempatan.
Lebih penting, projek tersebut dapat memupuk masyarakat berfikir kritis serta beretika demi Malaysia yang seimbang dan progresif.
Tiga tokoh utama di sebalik projek tersebut ialah Mohamad Saleeh, Mohd. Khair Ngadiron selaku pengarah projek dan bendahari persatuan berkenaan, Mohd Azalan Hussain.
Projek tersebut digerakkan dengan langkah pertama penganjuran bengkel pemerolehan manuskrip di enam zon iaitu Sarawak yang diadakan di Kuching , Zon Tengah (Kuala Lumpur), Zon Utara (Pulau Pinang) , Zon Sabah (Kota Kinabalu) , Zon Selatan (Muar, Johor), Zon Timur I (Kota Bharu), dan Zon Timur II (Kuala Terengganu) .
Selepas selesai penganjuran bengkel, sebanyak 439 manuskrip diterima.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 125 manuskrip (30 peratus) kategori setuju diterbit, 18 manuskrip atau lima peratus kategori dalam pertimbangan (KIV) , sebanyak 269 atau 65 peratus ditolak manakala 27 manuskrip tidak menepati syarat. Projek tersebut dicetuskan berdasarkan pengumuman peruntukan Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kerajaan menyediakan RM50 juta kepada agensi yang berpotensi untuk mengengahkan karya seni dan sastera negara, mempergiatkan persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia.
Kemudiannya Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta pada 31 Mei 2024 dan pada 1 Ogos tahun sama, projek tersebut dilancarkan secara rasmi.
Usaha menerbitkan karya asli dalam bahasa Melayu dengan sasaran awal penerbitannya sebanyak 100 judul karya asli dalam bahasa Melayu.
Projek tersebut kini berjaya melepasi sasaran penerbitan awal sebanyak 100 judul dengan menerbitkan 123 judul naskhah karya asli dengan setiap judul dicetak sebanyak 1000 naskhah.
PENA turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dengan memberi sumbangan 400 naskhah bagi setiap judul melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.
Selain itu, sebanyak 300 naskhah bagi setiap judul disumbangkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) diedarkan ke perpustakaan desa dan perpustakaan di bawah kelolaan PNM.
Penyerahan kepada PNM dan Kementerian Pendidikan dilaksanakan secara berperingkat peringkat mengikut fasa berikut:
Dalam Fasa Pertama sebanyak 31 judul diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan PNM.
Dalam Fasa Kedua pula sebanyak 17 judul telah diserahkan kepada PNM dan KPM Dalam Fasa Ketiga, sebanyak 14 Judul telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan. Dalam Fasa Keempat pula sebanyak 14 judul telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan PNM dan seterusnya dalam Fasa kelima masih dalam proses penerbitan dan penyerahan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan,Muhammad Kamil Abdul Munim, melancarkan projek buku berkenaan pada Malam Kemuncak Penulis Malaysia dalam Sidang Kemuncak Penulis Penulis Malaysia di Bangi tahun lalu.
Menurut Mohd. Khair idea asal mengenai program buku tersebut bertitik tolak daripada rasa ingin melihat bidang sastera terus diperkasakan.
“Saya melihat ada kelompangan dalam industri penerbitan buku sastera tanah air iaitu institusi tiada buku sastera dan kalau ada pun sedikit dan masa lama lebih kurang tiga lima tahun.
Seorang penulis veteran Marsli N.0 mengakui inisiatif tersebut banyak memberi manfaat kepada penulis sepertinya .
“Sepanjang sejarah penglibatan sebagai penulis, bagi saya Projek Penerbitan Buku Pena – Malaysia Madani ini wajar dipuji dan diucapkan tahniah kerana dengan tenaga kerja yang terbatas mereka mampu dan berjaya menerbitkan lebih 100 judul buku dalam tempoh waktu sekitar, agakan saya, empat ke lima bulan, “ ujarnya.
Kata beliau, proses menyempurnakan proses penilaian, dan penerbitan sebagai sebuah buku dan juga membayar royalti secara penuh kepada semua penulis yang terlibat perlu dihargai.
“Tidak juga lupa ucapan kepada pihak Malaysia-Madani dan semoga ada lanjutan untuk projek penerbitan yang seterusnya, “ ujarnya.
Seorang penulis muda Muhammad Ruzaini Awang berkata, Projek Buku PENA-Kerajaan Madani merupakan inisiatif yang memberi jalan kepada masyarakat Malaysia untuk menjadi orang yang bijaksana khususnya penulis dan khalayak pembaca yang mendapat manfaat dripada buku yang diterbitkan.
Di samping itu, penerbitan buku PENA-Malaysia Madani turut mencapai objektifnya dengan hasrat memandaikan masyarakat Malaysia yang bukan sahaja mencintai bahasa malah etnik, budaya dan kekayaan sejarah negara.- UTUSAN










