MFL yakin tiada isu tunggakan gaji musim depan

MFL yakin tiada isu tunggakan gaji musim depan

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM), Datuk Noor Azman Rahman bersama Pengerusi Liga Bolasepak Amatur(AFL), Datuk Wira Yusof Mahadi, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Mohd Shazli Shaik Mohd pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Persatuan Bolasepak Negeri (FA) dan kelab bola sepak (FC) di Wisma FAM, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyuarakan keyakinan bahawa saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 akan berlangsung tanpa dibayangi isu tunggakan gaji yang sekian lama menjadi barah dalam kancah bola sepak tempatan.

Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pelaksanaan sepenuhnya Peraturan Kewangan Adil atau Financial Fair Play (FFP) diyakini mampu menjadi mekanisme kawalan agar pasukan berbelanja mengikut kemampuan sebenar.

“Melalui FFP, kita akan pantau kewangan pasukan secara bulanan. MFL turut melabur dalam sistem perisian khas bagi memantau perbelanjaan kelab secara automatik, hampir sama seperti pelesenan sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau, setiap pasukan diwajibkan mengisytiharkan bajet tahunan dan memasukkan data kewangan masing-masing ke dalam sistem FFP dan sekiranya perbelanjaan melebihi had yang ditetapkan, sistem tersebut akan menyekat sebarang transaksi lanjut.

“Pasukan perlu isytihar sama ada bajet mereka benar-benar wujud atau sekadar anggaran. Ini penting kerana kita mahu mereka bertindak sebagai majikan yang bertanggungjawab. Nasihat dan garis panduan juga telah diberi kepada setiap pasukan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Persatuan Bolasepak Negeri (FA) dan kelab bola sepak (FC) di Wisma FAM, hari ini.

FFP mula diperkenal secara berperingkat sejak musim lalu, namun bermula musim 2025/2026 ia dikuatkuasakan sepenuhnya dan antara ketetapan utama ialah perbelanjaan gaji tidak boleh melebihi 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan kelab.

Langkah itu dilihat sebagai pendekatan tegas MFL bagi mengelak pasukan berbelanja secara berlebihan hingga menjejaskan aliran tunai dan seterusnya gagal melunaskan gaji pemain serta pegawai.

MFL sebelum ini menekankan kepentingan mewujudkan budaya pengurusan kewangan berhemah, ketelusan serta profesionalisme dalam kalangan semua pengurusan kelab bagi memastikan kelangsungan liga dalam jangka panjang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×