Wanita pertama ketuai Parti Liberal Australia

Wanita pertama ketuai Parti Liberal Australia

SUSSAN bertekad mahu membantu Parti Liberal membina semula hubungan dengan rakyat Australia. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI Liberal Australia buat pertama kalinya memilih seorang wanita sebagai pemimpin baharu.

Sussan Ley dipilih untuk mengambil alih jawatan daripada penyandang terdahulu, Peter Dutton, selepas beliau memimpin parti itu sehingga tewas dalam pilihan raya baru-baru ini.

Sussan menewaskan pencabarnya, Angus Taylor dengan kelebihan empat undi.

Dalam pilihan raya yang berlangsung 3 Mei lalu, gabungan Liberal-Nasional, yang kini merupakan parti pembangkang utama Australia mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya.

Pelantikan Sussan berlaku ketika Perdana Menteri, Anthony Albanese mengangkat sumpah di Rumah Kerajaan pada 13 Mei lalu, susulan kemenangan besar Parti Buruh dalam pilihan raya.

Sussan mewakili kawasan luar bandar di New South Wales, Farrer, sejak tahun 2001 dan pernah berkhidmat sebagai menteri kanan dalam pelbagai portfolio, menjadikannya antara tokoh paling berpengalaman dalam Parti Liberal.

BINA SEMULA PARTI

Sussan kini bertekad mahu membantu partinya membina semula hubungan dengan rakyat Australia, khususnya golongan wanita dan anak muda yang menganggap mereka diabaikan.

“Kita perlu sebuah Parti Liberal yang menghormati, mencerminkan dan mewakili Australia moden.

“Kita mesti mendekati rakyat mengikut realiti mereka,” katanya.

Beliau berkata, kekalahan parti itu akan dikaji semula, termasuk semua dasar yang meliputi pendiriannya mengenai tenaga nuklear serta matlamat pelepasan sifar bersih.

“Saya mahu lakukan sesuatu dengan cara yang berbeza, dan kita perlu ada pendekatan baharu.

“Saya berjanji kepada rakan sepasukan bahawa tidak akan ada keputusan unilateral daripada saya. Kita akan meneliti setiap isu dasar dan mempertimbangkan perbezaan pandangan,” katanya.

PERJALANAN HIDUP

Sussan dilahirkan di Nigeria kepada pasangan warga Inggeris dan dibesarkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum berhijrah ke Australia ketika berusia 13 tahun.

Ketika masih muda, beliau menukar namanya daripada Susan kepada Sussan, kerana terinspirasi dengan numerologi, kepercayaan kuno bahawa nombor mempunyai kesan mistik terhadap kehidupan seseorang.

“Saya terbaca tentang teori numerologi yang menyatakan jika jumlahkan nombor mewakili huruf dalam nama anda, ia boleh mengubah personaliti.

“Saya kira, jika tambah satu huruf ‘s’, saya akan menjalani kehidupan yang sangat menarik dan menyeronokkan serta tidak pernah merasa bosan. Semudah itu,” katanya.

Perjalanan hidup Sussan bukan sekadar penglibatan dengan dunia politik, beliau pernah melalui fasa menyambung pengajian dalam bidang ekonomi dan perakaunan sambil membesarkan tiga anak.

Beliau juga pernah mendapatkan lesen juruterbang dan bekerja di kawasan pedalaman menguruskan ternakan.

Dipilih sebagai ahli Parlimen pada 2001 untuk mewakili kawasan sebesar New Zealand, Sussan dilantik sebagai Menteri Kesihatan di bawah pentadbiran Malcolm Turnbull pada 2014.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan dua tahun kemudian berikutan skandal perbelanjaan.

Sussan memohon maaf selepas menggunakan lawatan yang dibiayai pembayar cukai untuk membeli sebuah apartmen di Gold Coast, Queensland.

Beliau kembali menyertai barisan hadapan Kabinet pada 2019, selepas kemenangan ‘ajaib’ Scott Morrison dalam pilihan raya, sebagai Menteri Alam Sekitar.

Wanita itu juga pernah menjadi tajuk utama berikutan kenyataannya mengenai rakyat Palestin.

Beliau pernah menjadi pengerusi bersama Rakan Parlimen Palestin, sebuah kumpulan tidak rasmi rentas parti, yang bertujuan mengetengahkan pengalaman dan menyokong autonomi rakyat Palestin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×