SOALAN
Anak saudara saya berusia lapan tahun. Beliau sering beremosi dan suka bermain sendiri. Adakah cara untuk mengenali tanda-tanda awal kemurungan dalam kalangan kanak-kanak? Apakah cara terbaik untuk membantu ahli keluarga yang mengalami kemurungan?
Ibu saudara prihatin
JAWAPAN
Kemurungan bukan sahaja dialami oleh orang dewasa, malah kanak-kanak juga berisiko mengalami gangguan emosi ini. Walaupun gejala kemurungan kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa, namun tetap memberi kesan kepada perkembangan emosi, sosial dan akademik mereka.
Ibu bapa dan ahli keluarga perlu kenal pasti tanda-tanda awal kemurungan serta mengetahui cara untuk memberi sokongan bagi membina semula keyakinan diri
Tanda-tanda awal kemurungan pada kanak-kanak:
Masalah Emosi
Cepat marah atau sensitif secara berlebihan.
Tidak seronok buat aktiviti yang disukai.
Masalah Sosial
Menjauhkan diri daripada persekitaran
Suka bermain sendirian
Prestasi akademik
Hilang minat terhadap sekolah
Prestasi merosot
Tingkah laku
Menyakitkan diri
Merosakkan diri
Cara membantu ahli keluarga yang mengalami kemurungan:
Luangkan masa – Sediakan ruang yang selamat untuk mereka meluah perasaan. Luangkan masa yang berkualiti apabila bersama mereka, mendengar tanpa menghakimi dan tidak memaksa mereka untuk bercakap sekiranya belum bersedia.
Sokongan emosi – Beri perhatian dan kata-kata positif kepada ahli keluarga apabila mereka ingin meluahkan perasaan. Elakkan daripada menghakimi, menasihati secara berlebihan atau meremehkan emosi mereka. Ia sangat penting untuk membina rasa diterima dan disayangi.
Aktiviti di rumah – Beri galakkan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti berbasikal dan bersukan. Bantu mereka mengekalkan rutin harian yang stabil seperti waktu makan, tidur dan rehat bagi memastikan mereka berasa selamat. Ia dapat membantu mereka menyalurkan tekanan emosi dengan cara lebih sihat.
Sistem sokongan – Bantu mereka dapatkan nasihat atau sokongan daripada profesional seperti kaunselor atau pakar psikologi kanak-kanak. Intervensi awal membantu mencegah masalah kemurungan menjadi lebih serius.
Mengelakkan stigma – Ahli keluarga harus mendidik diri tentang kemurungan agar tidak menganggap keadaan ini sebagai kelemahan diri atau sekadar masalah biasa. Memahami kemurungan sebagai satu keadaan kesihatan mental yang serius akan membantu memberikan sokongan yang lebih berkesan dan berempati.
Jaga kesihatan diri – Membantu seseorang yang mengalami kemurungan boleh menjadi mencabar dan melelahkan. Oleh itu, ahli keluarga juga perlu memastikan mereka mempunyai sistem sokongan, ruang untuk berehat dan mengurus tekanan diri agar dapat terus memberi bantuan dengan baik.-UTUSAN









