“Burung di dahan rapuh akan terbang ke pokok lain.”
Itu bukan sekadar gurauan orang tua-tua, tetapi sindiran tajam yang lahir daripada naluri seorang bekas guru kampung, Husain Jaafar, 86, yang sejak lebih sedekad lalu ‘meramal’ kejatuhan UMNO melalui lukisan kartun satiranya.
Bagi warga Kampung Pesagi, Chenor, nama beliau tidak asing malah disanjung sebagai legenda pendidikan daerah dan antara tokoh terakhir lulusan sistem latihan guru melalui pos yang kini tinggal sejarah.
Segalanya bermula pada tahun 1956 apabila beliau menyertai program latihan perguruan Pusat Latihan Guru Jalan Gurney, Kuala Lumpur yang menuntut ketekunan tinggi, semata-mata melalui modul yang dihantar melalui pos.
“Saya hanya lulus Darjah Enam ketika itu. Tapi semangat nak jadi guru dan bantu orang kampung celik huruf melebihi segalanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Chenor, baru-baru ini.
Menjawab soalan, menghantar latihan dan menunggu keputusan melalui pos menjadi rutin beliau sebelum mula berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Marhum, Pekan pada tahun 1957.
Selepas itu, beliau terus mencurah bakti di pelbagai sekolah termasuk SK Pesagi, SK Pejing, SK Senggora, SK Kuala Sentol dan akhirnya SK Batu Cave, Gombak sehingga bersara pada tahun 1995.
Namun, keistimewaan beliau bukan hanya pada kesungguhan mendidik, tetapi keteguhan tekad mengejar ilmu. Pada tahun 1965, beliau menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi bersaing dengan guru muda berkelulusan tinggi.
“Ketika itu saya sudah berkeluarga. Tapi tetap belajar. Saya ambil Sijil Tinggi Persekolahan (STP) juga walaupun tidak sambung ke universiti sebab empat anak saya masuk Universiti Malaya serentak,” katanya dengan tenang.
Pengorbanan itu tidak sia-sia, semua sebelas anaknya kini bergelar graduan universiti dengan dua daripadanya doktor perubatan, tiga menjadi guru, dua jurutera manakala selebihnya dalam pelbagai bidang profesional.
Bagi Husain, kejayaan itu mustahil dicapai tanpa pengorbanan arwah isterinya, Mahani Yaakob, yang meninggal dunia 15 tahun lalu.
“Dialah tulang belakang sebenar keluarga kami,” katanya sebak.
Namun, sisi hidup beliau yang kurang diketahui ramai ialah bakat melukis kartun satira politik yang begitu tajamdan pernah menggambarkan kejatuhan UMNO jauh sebelum ia berlaku dalam PRU-14.
Sekitar tahun 2012, beliau menghasilkan siri kartun yang mengkritik sesetengah pemimpin UMNO yang disifatkannya tamak kuasa, pentingkan diri dan hipokrit terhadap perjuangan bangsa.
Watak-watak seperti helang, monyet, tebuan dan ular dicipta untuk mewakili pemimpin parti itu.
“Helang berlagak berkuasa, monyet sibuk cari pisang, tebuan menyengat sesama sendiri dan ular pula membelit diam-diam. Semua hidup untuk diri, tidak fikir akar pokok sedang reput,” katanya.
Salah satu kartun terkenalnya menunjukkan seekor burung hinggap di dahan rapuh pokok punggur lalu terbang pergi iaitu simbolik kepada pemimpin yang meninggalkan UMNO selepas memperoleh kekayaan.
“Saya tidak benci UMNO. Saya sayang UMNO. Tapi saya kecewa dengan mereka yang menikam parti dari dalam,” ujarnya sambil menekankan perjuangan sebenar mesti lahir daripada keikhlasan.
Tambahnya, akar kerosakan UMNO bermula seawal tahun 1960-an ketika tulisan jawi dimansuhkan.
Walaupun dibantah ramai guru Melayu, ia tetap diteruskan demi agenda tertentu.
“Kesan besar pada jiwa Melayu. Daripada situlah generasi baharu mula terpisah daripada akar budaya sendiri,” tegasnya yang masih tekun membaca kitab jawi hingga ke hari ini.

Sebagai pencinta ilmu, beliau turut melukis potret tokoh dunia seperti Leonardo da Vinci dan Ferdinand Magellan bersama pahlawan Melayu yang dikaguminya, Panglima Awang yang berjaya mengelilingi dunia.
“Gambar itu saya lekat di dinding rumah supaya anak cucu tahu, kita juga mampu jadi hebat jika berfikir di luar kotak,” katanya penuh semangat.
Kini, di usia emas, beliau lebih banyak meluangkan masa duduk di tebing Sungai Pahang, di Pekan Lama Chenor atau Kampung Lubuk Paku, menikmati angin dan mengenang rakan seperjuangan yang telah pergi.
Antaranya termasuklah Cikgu Abu Bakar Yunus, Cikgu Othman Tote, Cikgu Fadhil Ahmad dan Cikgu Malek Abdullah.
Semuanya insan hebat yang mewakafkan hidup untuk pendidikan bangsa.
Bagi Cikgu Husain, UMNO hanya boleh bangkit jika hadir pemimpin baharu yang jujur, berjiwa rakyat dan tidak bersandiwara di pentas politik.
“Kita tidak mahu pemimpin yang hanya berdegar-degar di pentas. Kita mahu yang sanggup berpanas, berlapar dan berkongsi nasib dengan rakyat,” katanya.’
Kartun satira beliau bukan sekadar lukisan, tetapi suara hati rakyat kecil yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air.
Cikgu Husain Jaafar bukan sekadar pendidik di ceruk kampung.
Beliau adalah pencatat sejarah ketamadunan bangsa yang menyampaikan kebenaran menerusi pena dan lukisan.-UTUSAN











