Selangor jana potensi eksport RM5.16 juta di Jepun - Utusan Malaysia

Selangor jana potensi eksport RM5.16 juta di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berjaya menjana peluang eksport bernilai RM5.16 juta di World Expo 2025 Osaka dan SusHi Tech Tokyo 2025.

Kejayaan itu sekali gus dapat mengukuhkan kerjasama serantau dan menyediakan platform kepada startup Selangor untuk membentang, mempamer dan berinteraksi dengan pelabur serta pemimpin inovasi global.

Disokong oleh Kerajaan Negeri Selangor, delegasi tersebut menampilkan lima syarikat pemula unggul iaitu Xtractify, Collaborative Excellence, GoFluence, Neupulse (BiiB) dan Hikayat Kebun yang mewakili bidang utama seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi ESG, kandungan digital, kelestarian dan kesejahteraan komuniti.

Di World Expo 2025 Osaka, Selangor mengetuai sub-tema Pendigitalan sempena Minggu Selangor, dengan penyertaan aktif syarikat startup dalam sesi perbincangan peringkat tinggi dan sesi pembentangan.

Mereka turut menjadi ahli panel dan moderator dalam empat sesi utama iaitu Inovasi untuk Impak, AI sebagai Teras, Menyesuaikan Diri dengan Era Baru Kandungan Digital serta AI & Bandar Pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, angka itu jelas menunjukkan kejayaan sebenar misi ini kerana ia bukan sekadar penjenamaan, malah membuka saluran pasaran sebenar, menarik minat pelabur dan membentuk kerjasama yang bernilai untuk startup kita.

“Di luar aspek perniagaan, Sidec turut memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pengukuhan kerjasama serantau.

“Dalam Sesi Jaringan Ekosistem Startup ASEAN yang dianjurkan Sidec, pemain utama ekosistem dari TechShake (Filipina), KUMPUL (Indonesia), Enterprise Singapore dan ACE Singapore hadir bagi meneroka potensi kerjasama rentas sempadan dan peluang pembangunan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memformalkan hubungan ini, Sidec telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan TechShake sebagai komitmen jangka panjang untuk bersama-sama membangunkan ekosistem inovasi Asia Tenggara melalui pertukaran berterusan dan sokongan ekosistem.

Dengan lebih 320 syarikat pemula disokong sejak 2018 dan jumlah kutipan dana keseluruhan mencecah RM203 juta, Sidec terus menerajui program berimpak tinggi menerusi inisiatif Selangor Deep Tech Xccelerator (Deep-X) dan Selangor Retail Tech Xccelerator (Retail-X).

Misi ini mengukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai negeri digital utama Malaysia dan pemain penting dalam jaringan inovasi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×