KUALA LUMPUR: China bersedia menyelaras strategi pembangunan dengan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi memperkukuh dasar makroekonomi serta pembahagian sektor ekonomi.
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, langkah itu dilaksanakan atas dasar saling menghormati antara satu sama lain.
“Kita harus mengubah kekuatan masing-masing menjadi kekuatan bersama serta saling membantu menangani cabaran mendatang. Ini adalah peluang penting untuk membina model keterbukaan rentas rantau. Jumlah keseluruhan populasi dan keluaran ekonomi China, Asean dan negara-negara Teluk menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlah global.
“Jika kita berjaya menghubungkan ketiga-tiga pasaran ini sepenuhnya, sudah pasti kita dapat merangsang potensi pembangunan yang lebih besar dan mencetuskan kesan skala yang jauh lebih signifikan,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China semalam.
Menurut Qiang, China juga berharap proses rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas China-GCC dipercepatkan bagi meningkatkan tahap perdagangan tiga hala selepas China dan Asean berjaya memuktamadkan rundingan menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean versi 3.0 (CAFTA 3.0).
“Kita perlu memperluaskan keterbukaan serantau secara kukuh dan berusaha membina tiga pasaran serta rantau ini sebagai satu pasaran mega bersama menjadi satu ekosistem di mana sumber, teknologi, bakat, perdagangan dan pelaburan dapat mengalir dengan lebih cekap, bebas dan mudah.
“Kita juga mesti membina model kerjasama merentas peringkat pembangunan yang berbeza. Walaupun trajektori pembangunan negara kita berbeza, saya percaya perbezaan ini bukan halangan kepada kerjasama, sebaliknya peluang untuk kelebihan bersama,” katanya.
Sementara itu, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara GCC dan China perlu dimuktamad dengan segera.
Beliau yang juga Presiden Majlis Tertinggi GCC berkata, sebarang sekatan yang boleh mengekang potensi pertumbuhan bersama perlu dihapuskan.
“Kerjasama tiga hala ini mencerminkan potensi besar yang makin berkembang apabila pelaburan luar antara GCC dan China capai AS$19 billion (RM81.7 bilion) dan jumlah dagangan dengan ASEAN melebihi AS$122 bilion (RM524 bilion) pada 2023,” katanya. – UTUSAN











