Usah biar Malaysia dibanjiri pekerja asing

Usah biar Malaysia dibanjiri pekerja asing

KERAJAAN harus memikirkan mekanisme kawalan lebih jitu bagi membendung kebanjiran pekerja asing yang masuk secara haram. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA dianggarkan mempunyai 2.3 juta pekerja asing, yang kebanyakannya daripada Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Myanmar.

Bilangan mereka kian bertambah dari setahun ke setahun.

Selain yang masuk secara sah melalui agensi pekerja asing, terdapat sebahagian lagi yang masuk secara haram melalui jalan darat, laut dan udara. Pelbagai taktik digunakan bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.

Serbuan dan tangkapan sudah acapkali dilakukan di tapak pembinaan, rumah kongsi, premis perniagaan dan di sempadan darat dan perairan, namun mereka tidak serik-serik untuk menceroboh masuk.

Tidak dinafikan, negara kita bagai lubuk emas bagi pekerja asing. Gaji harian seorang pekerja ladang di negara kita sangat tinggi jika dibandingkan bekerja di negara mereka.

Kerajaan harus memikirkan mekanisme kawalan lebih jitu bagi membendung kebanjiran mereka yang masuk secara haram dan mendatangkan pelbagai masalah sosial.

Bilangan yang dibawa masuk juga perlu dikawal. Tindakan agensi pekerja asing membawa masuk dengan jumlah yang sangat ramai, adalah mencurigakan.

Benarkah mereka itu sangat diperlukan dalam jumlah yang demikian? Isu polis Bangladesh meminta kerajaan kita menghantar pulang rakyat mereka yang didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan manusia ke negara kita menambah kekhuatiran.

Tidak lupa isu sebahagian warga China terlibat sebagai scammer yang diatur oleh sindiket haram, seperti serbuan di Johor Bahru, Ipoh, Melaka dan Pulau Pinang. Pola ini juga membimbangkan.

Pihak berkuasa membabitkan pihak Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), pasukan gerak am dan agensi penguatkuasaan maritim perlulah duduk semeja dalam merungkai sebarang masalah berkaitan pekerja asing.

Janganlah menunggu sehingga nasi menjadi bubur dan cacing sudah sampai ke mata, baru mahu mengambil tindakan dalam menangani isu-isu pekerja asing ini.-UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×