Bidang perakaunan bina integriti, bukan sekadar nombor

Bidang perakaunan bina integriti, bukan sekadar nombor

NEGARA memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA ribuan pelajar di seluruh negara menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai antara mereka berada di persimpangan penting dalam menentukan arah tuju masa hadapan.

Dalam pelbagai pilihan yang tersedia, satu laluan kerjaya yang terus menawarkan kestabilan, kepelbagaian dan prospek peningkatan kerjaya ialah bidang perakaunan. Meskipun bidang ini sering dikaitkan dengan kerja mengira dan menyusun buku akaun, realitinya perakaunan moden merupakan cabang profesional yang dinamik dan berperanan penting dalam mencorakkan ekonomi negara.

Bidang perakaunan sering digelar sebagai ‘bahasa perniagaan’ kerana ia menyediakan asas penting dalam membuat keputusan kewangan yang rasional dan berhemah. Setiap organisasi sama ada syarikat multinasional, perniagaan kecil dan sederhana, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan, memerlukan profesional perakaunan untuk mengurus rekod kewangan, memastikan pematuhan undang-undang dan memberikan panduan strategik berdasarkan data kewangan.

Dalam dunia perniagaan yang semakin kompleks dan saling berhubung, akauntan bukan sahaja perlu menguasai prinsip perakaunan tempatan, tetapi juga memahami piawaian antarabangsa serta mampu berfungsi dalam persekitaran global. Tambahan pula, tumpuan semasa terhadap tadbir urus korporat, ketelusan dan amalan perniagaan yang lestari menjadikan kerjaya ini semakin relevan dan signifikan.

Salah satu daya tarikan utama bidang perakaunan ialah peluang kerjaya yang luas dan pelbagai. Berbeza dengan tanggapan umum yang menganggap kerja akauntan terhad kepada tugasan pejabat, realitinya profesion ini menawarkan pelbagai cabang pengkhususan seperti perundingan cukai, audit dalaman dan luaran, perakaunan forensik, pengurusan risiko, analisis kewangan, perakaunan pengurusan serta pelaporan kelestarian.

Setiap bidang ini memerlukan set kemahiran yang berbeza dan membolehkan individu memilih laluan kerjaya mengikut minat dan kebolehan masing-masing. Misalnya, seseorang yang gemar menganalisis data mungkin sesuai dalam bidang audit atau pengurusan risiko, manakala mereka yang memiliki kemahiran komunikasi yang baik boleh berjaya dalam bidang perundingan atau kewangan korporat.

Lebih menarik, kerjaya ini ‘boleh dibawa ke mana-mana’ dengan kelayakan profesional yang diiktiraf, akauntan Malaysia boleh berkhidmat bukan sahaja di dalam negara, malah juga di pusat kewangan antarabangsa seperti Singapura, London, Dubai atau Sydney.

Di Malaysia, permintaan terhadap akauntan bertauliah kekal tinggi. Menurut unjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030. Namun begitu, jumlah graduan semasa masih belum mencukupi untuk memenuhi sasaran, sekali gus membuka peluang besar kepada pelajar baharu menyertai bidang yang sedang berkembang pesat ini.

Tambahan pula, kemajuan teknologi mengubah kaedah kerja dalam profesion ini secara menyeluruh. Sistem automasi, perisian berasaskan awan (cloud) serta aplikasi analitik data kini menjadi kebiasaan dalam pengurusan kewangan. Oleh itu, majikan kini lebih cenderung memilih calon yang bukan sahaja mahir dalam prinsip perakaunan tradisional tetapi juga celik teknologi digital.

Ramai memilih laluan kerjaya dalam sektor korporat, berkhidmat di jabatan kewangan syarikat sebagai penganalisis kewangan, pegawai bajet, juruaudit dalaman atau ketua pegawai kewangan (CFO).

Selain itu, sektor awam juga menawarkan prospek kerjaya yang kukuh, terutamanya di agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Audit Negara dan Jabatan Akauntan Negara dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Bagi individu yang meminati pendidikan dan penyelidikan, bidang akademik di universiti dan kolej merupakan satu pilihan yang bermakna untuk membina ilmu serta melahirkan generasi akauntan yang berkaliber.-UTUSAN

DR. YAZKHIRUNI YAHYA
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×