KUALA LUMPUR: ASEAN kini berada dalam fasa genting susulan tekanan ekonomi dan geopolitik yang semakin memuncak, khususnya melibatkan hubungan dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China selepas pengumuman tarif balas oleh Presiden AS, Donald Trump pada 2 April lalu.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norlin Khalid berkata, negara-negara ASEAN termasuk Malaysia perlu memainkan peranan strategik dalam mengimbangi kepentingan dagangan sambil mengekalkan hubungan diplomatik dengan kedua-dua kuasa besar tersebut.
“Selain memperkukuh kerjasama sedia ada, ASEAN turut disaran memperluas jaringan dagangan dengan rakan bukan tradisional seperti Kesatuan Eropah (EU), India dan blok ekonomi lain.
“Pengalaman ketika pandemik Covid-19 memperlihatkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan global menyebabkan gangguan terhadap barangan asas termasuk telur.
“Kini, ASEAN lebih bersedia melalui kerjasama serantau dalam memulihkan rantaian bekalan, memperbaharui perjanjian perdagangan bebas serta memperkukuh integrasi ekonomi digital dan hijau.
“Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 yang bakal dilancarkan dijangka memberi tumpuan kepada transformasi digital, inovasi industri serta pembangunan modal insan agar manfaat globalisasi dapat diagihkan secara lebih saksama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas usaha merapatkan jurang pembangunan, beliau berkata, pelaksanaan Inisiatif Integrasi ASEAN (IAI) serta pelaburan infrastruktur rentas sempadan akan digerakkan secara kolektif bersama sektor swasta.
“Langkah ini penting bagi menjamin pertumbuhan ekonomi serantau yang stabil dan mengelakkan ketidakseimbangan struktur jangka panjang.
“Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-46 disifatkan tepat pada masanya dalam mengangkat prinsip pertumbuhan menyeluruh dan mesra alam.
“Ia turut menyokong pelaburan dalam teknologi hijau dan amalan tadbir urus baik berteraskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sejajar literatur akademik berkaitan pembangunan inklusif dan ekonomi mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norlin berkata, mesyuarat AEM yang berlangsung ketika ketidaktentuan geopolitik dan cabaran ekonomi global dijangka mencetuskan beberapa pencapaian penting.
“Antaranya melibatkan kemajuan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) serta penggubalan Pelan Strategik AEC 2026-2030.
“Selain itu, antara aspek utama rundingan ACFTA 3.0 ialah integrasi digital, ekonomi hijau dan pengukuhan daya tahan rantaian bekalan, selaras usaha ASEAN kekal relevan dalam landskap perdagangan global yang mencabar.
“Malaysia juga dijangka memainkan peranan penting dalam mengetuai rundingan dengan AS susulan pelaksanaan tarif baharu terhadap produk dari rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, pelan strategik baharu AEC 2026-2030 turut dijangka memberi tumpuan kepada enam matlamat strategik termasuk inovasi, kelestarian ekonomi dan pembangunan kapasiti negara anggota, terutamanya negara kurang maju seperti Laos, Myanmar dan Kemboja.
Tambahnya, kenaikan tarif oleh AS ke atas barangan dari China serta kesan rantaian terhadap negara ASEAN yang terlibat dalam sistem bekalan serantau merupakan isu kritikal yang dijangka dibincangkan secara mendalam.
“ASEAN perlu berunding secara kolektif bagi memastikan kestabilan hubungan dagang dengan AS, sekali gus mengelakkan ketidaktentuan eksport dan pelaburan.
“Dalam masa sama, keperluan memperkukuh rantaian nilai serantau menjadi semakin mendesak memandangkan sebarang gangguan boleh memberi kesan langsung terhadap kenaikan harga seperti yang berlaku pada 2022.
“Mesyuarat AEM kali ini juga dijangka menyentuh isu konflik di Myanmar serta ketegangan di Laut China Selatan yang turut memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dan politik serantau,” katanya.-UTUSAN










