Anthropocene ancam karang, sumber makanan

Anthropocene ancam karang, sumber makanan

TERUMBU karang yang diancam pemutihan dan kematian diambil kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia, Fahmy Yusoff di Pulau Tioman, Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Terumbu karang dan ekosistem marin negara berdepan risiko kepupusan habitat biodiversiti sehingga boleh menjejaskan sumber makanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Strategik), Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM), Profesor Dr. Zaidi Che Cob berkata, Malaysia berada pada era Anthropocene ekoran peningkatan suhu, pengasidan laut, pencemaran plastik yang tiada penghujung dan penangkapan ikan berlebihan.

Beliau berkata, semua aktiviti itu ditambah pembangunan pesisir, sedang mengubah jantung biru bumi ataupun kawasan lautan negara keseluruhannya.

Menurutnya, Anthropocene merupakan istilah menggambarkan zaman geologi pada masa kini apabila aktiviti manusia adalah pengaruh dominan terhadap hidupan dan alam sekitar.

“Era Anthropocene tanpa di­sangkal telah membawa cabaran hebat kepada keseimbangan ekologi lautan. Pencemaran, perubahan iklim dan pemusnahan habitat memberikan impak cukup besar kepada kehidupan pada skala dan kadar kehilangan biodiversiti atau kepupusan adalah sangat membimbangkan.

“Lebih mendukacitakan kebanyakan kepupusan tidak dapat didokumenkan kerana sebahagiannya belum dikenal pasti. Saintis menganggarkan sehingga 90 peratus spesies marin masih tidak diketahui, lebih lagi organisma yang bersifat kriptik di ekosistem terumbu karang dan ekosistem laut dalam.

“Mengurus biodiversiti marin dalam era Anthropocene bukan hanya tentang pemuliharaan. Menangani cabaran ini memerlukan pendekatan pelbagai termasuk pembaharuan dasar, kempen kesedaran awam dan strategi pemuliharaan yang inovatif,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, terumbu karang Malaysia semakin pupus apabila hampir 80 peratus memutih dan mati akibat pelunturan melampau dengan 50.7 peratus terumbu terjejas manakala secara purata 34.1 peratus mati.

Kemusnahan itu tidak sekadar melibatkan struktur laut, sebaliknya sumber ekosistem lautan termasuk kehidupan tempat asuhan benih ikan, pelindung pantai dan penyumbang utama oksigen dunia. Pemusnahan terumbu karang diibaratkan merobohkan ‘rahim kehidupan’ di laut.

Laporan Kesan Pemutihan Karang Malaysia 2024 oleh Coral­ku dan Reef Check Malaysia dengan melakukan tinjauan di lautan membabitkan Semenanjung dan Sabah itu turut mendedahkan Terengganu paling parah apabila mencatatkan kematian karang mencecah 44.2 peratus.

DR. ZAIDI CHE COB

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, era Anthropocene mencabar semua manusia untuk bertindak sebagai penjaga bumi, bukan sekadar pengguna.

“Mengurus biodiversiti marin hari ini memerlukan sains, komuniti, dan imaginasi baharu tentang peranan kita dalam alam semula jadi.

“Lautan masih mampu pulih tetapi hanya jika kita memberikan ruang untuknya bernafas semula. Masa depan lautan dan masa depan kita saling berkait. Jadi, mari kita bertindak sebelum semuanya terlambat,” gesa beliau.

Mengulas pemuliharaan di era Anthropocene, beliau berkata, usaha itu perlu dinamik dan boleh disesuaikan, tidak cukup sekadar penubuhan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang hanya relevan pada sempadan khusus digazetkan.

“Apabila suhu laut meningkat akibat pemanasan global umpamanya, spesies berpindah kadangkala merentas seluruh lautan. Oleh itu, idea ‘koridor biru’ iaitu rangkaian kawasan perlindungan dan pengurusan yang membolehkan spesies bergerak mengikut perubahan keadaan semakin mendapat perhatian.

“Projek Refugia Perikanan yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia untuk udang kara di Tanjung Leman, Johor dan Udang Harimau di Baram, Sarawak adalah contoh pendekatan pemuliharaan merentas sempadan dan boleh dikembangkan lagi.

“Konsep pengurusan ‘koridor biru’ ini perlu digabungkan teknologi terkini seperti penjejakan satelit dan pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI). Kita akan lebih bersedia untuk memahami dan melindungi kehidupan di bawah ombak,” katanya yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) Pemeliharaan Dan Penggunaan Lestari Kepelbagaian Biologi, UKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN