Shereen buru slot ke Kejohanan Dunia

Shereen buru slot ke Kejohanan Dunia

Shereen Samson Vallabouy
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 di Gumi, Korea Selatan minggu depan menjadi medan buat pelari 400 meter wanita negara, Shereen Samson Vallabouy memburu tiket automatik ke Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu kini berada di fasa akhir persiapan dengan sasaran memperbaiki catatan masa terbaik musim ini yang masih jauh daripada syarat kelayakan.

“Ya, itu (layak ke kejohanan dunia) salah satu sasaran saya juga. Buat masa sekarang, saya tengah berlatih. Apa yang penting, saya mahu jadi lebih konsisten dan mendapatkan masa terbaik saya untuk layak,” kata Shereen.

Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 21 September depan menyaksikan Shereen sebagai pilihan utama Malaysia, namun tiket wildcard hanya sah jika tiada atlet lain layak secara merit.

Catatan 50.75 saat perlu dicapai bagi menjamin tempat ke Tokyo, berbanding rekod terbaik musim ini miliknya, 53.66s yang dilakar di Kejohanan Tom Jones Memorial di Florida, AS.

Sebagai pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 51.79s pada tahun lalu, Shereen diyakini memiliki kapasiti untuk melonjak prestasi dalam kejohanan utama Asia itu.

Malah, berdasarkan kejayaan membawa pulang gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022, atlet berusia 27 tahun ini dilihat mampu menyumbang pingat buat skuad olahraga negara di Gumi nanti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×