Terletak hanya beberapa langkah dari batu tanda 0 Kilometer yang menjadi mercu tanda bersejarah di daerah Lipis ini, sebuah restoran baharu yang dinamakan Pepenero kini menjadi bualan ramai, bukan sahaja kerana lokasinya strategik, malah kerana keunikan menu yang ditawarkan.
Menampilkan gabungan cita rasa ASEAN dan masakan Barat, Pepenero yang mula beroperasi pada Syawal lalu kini menjadi antara destinasi pilihan utama pengunjung dan penduduk setempat yang ingin menikmati juadah enak dalam suasana santai dan moden.
Apa yang lebih membanggakan, kedai makan ini diusahakan sepenuhnya oleh anak jati Kuala Lipis, Nur Farzana Ridzduan, 28, yang juga graduan dalam bidang kulinari dari sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Restoran Pepenero
Lokasi: 88, Jalan Besar, 27200 Kuala Lipis, Pahang
(berhadapan Batu 0 kilometer)
Waktu operasi: 12 tengah hari – 10 malam (tutup Isnin)
Makanan paling popular: Chicken Chop, Lamb Chop, Nasi Goreng USA, Laksa Penang, mi kari
Menurut Nur Farzana, minatnya dalam dunia masakan bukan muncul secara tiba-tiba, sebaliknya disemai sejak kecil apabila sering membantu ibunya di dapur.
Kata Nur Farzana, ibunya, Sakinah Yaakub, 54, juga seorang usahawan dalam bidang makanan dan memiliki sebuah restoran di Bandar Baru Lipis.
“Sejak di bangku sekolah lagi, saya sudah biasa dengan suasana di dapur. Dari situ, saya belajar selok-belok memasak dan menyediakan makanan.

“Maka selepas tamat pengajian, saya nekad membuka kedai sendiri yang mempunyai identiti tersendiri,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini m
Menurut Nur Farzana, nama Pepenero dipilih sempena maksudnya dalam bahasa Itali iaitu ‘lada hitam’, yang melambangkan keaslian rempah dalam kebanyakan masakannya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan, antara tarikan utama di Pepenero adalah gabungan menu ASEAN dan Barat yang disediakan dengan sentuhan istimewa.
“Pelbagai pilihan nasi goreng termasuk nasi goreng kampung dan nasi goreng USA menjadi antara menu paling laris, selain hidangan Barat seperti chicken chop, lamb chop, spageti bolognese, carbonara, mushroom soup dan garlic bread.
“Kami berusaha memastikan setiap menu yang dihidangkan bukan sahaja sedap, tetapi disediakan dengan bahan segar dan rasa konsisten. Kami juga sering mendapatkan maklum balas pelanggan untuk penambahbaikan,” ujarnya.
Nur Farzana berkata, harga makanan yang ditawarkan juga sangat berpatutan, bermula daripada RM10 hingga RM20 untuk makanan, manakala minuman dijual serendah RM2 hingga RM6.
Jelasnya lagi, bukan sekadar tempat menjamu selera, Pepenero turut menyediakan kemudahan untuk pelanggan yang ingin mengadakan pelbagai majlis keraian seperti sambutan hari lahir, acara korporat dan sebagainya.
“Kami menyediakan dua ruang utama iaitu ruang berhawa dingin yang boleh memuatkan sekitar 30 orang, manakala ruang luar boleh menampung kira-kira 50 tetamu dalam satu masa.
“Setiap ruang direka agar selesa untuk pelanggan berkeluarga atau berkumpulan,” katanya.
Menariknya, dia juga menekankan aspek pembangunan komuniti apabila mengambil pekerja dalam kalangan anak tempatan Lipis yang mempunyai latar belakang dalam bidang kulinari.
“Setakat ini, saya dibantu sembilan pekerja tetap yang kesemuanya berasal dari Lipis.
“Ini sebahagian usaha kecil kami untuk membantu membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” ujarnya lagi.
Mengulas perancangan masa depan, Nur Farzana berkata, dia dalam proses merangka penambahan menu seperti set nasi berlauk dan pencuci mulut bagi mempelbagaikan pilihan pelanggan.
“Jika sambutan kekal positif, tidak mustahil untuk kami membuka cawangan baharu di lokasi lain pada masa akan datang.
“Fokus utama saya sekarang adalah memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya dengan penuh tekad. – UTUSAN










