KL terlalu banyak pusat beli-belah

KL terlalu banyak pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika berpindah dari Terengganu ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu atas urusan kerja, saya tidak menyangka akan dikelilingi begitu banyak pusat beli-belah.

Ibu kota ini seolah-olah menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai satu budaya kerana hampir di setiap penjuru premis itu ada.

Daripada yang berskala mewah seperti Pavilion dan The Exchange TRX, hinggalah ke kompleks beli-belah biasa.

Semuanya menawarkan pengalaman berbeza tetapi tetap berteraskan satu perkara iaitu membeli dan berbelanja.

Lebih menghairankan, dalam jarak beberapa kilometer sahaja, wujud beberapa pusat beli-belah besar yang kadang-kadang menawarkan barangan serupa.

Saya tertanya-tanya, adakah benar warga kota gemar window shopping atau sebenarnya terperangkap dalam gaya hidup yang menjadikan pusat beli-belah sebagai ruang sosial utama?

Di Terengganu, kehidupan lebih sederhana. Pusat beli-belah hanya sesekali dikunjungi, itu pun jika ada keperluan.

Tempat bersosial lebih cenderung kepada pantai, warung atau pasar malam.

Namun, di Kuala Lumpur, pusat beli-belah bukan sekadar tempat membeli, tetapi juga lokasi beriadah, makan, menonton wayang, malah berjumpa doktor gigi atau mencuci kereta.

Saya tidak menyalahkan sesiapa. Dalam kota penuh kesibukan dan kesesakan, pusat beli-belah menawarkan ruang yang berhawa dingin, selesa dan bebas gangguan, iaitu satu bentuk eskapisme moden.

Namun, saya tidak dapat menafikan kegusaran dalam hati. Adakah kita sedang menuju ke satu masyarakat yang hanya tahu menikmati hujung minggu di tempat komersial?

Anak-anak lebih kenal jenama makanan segera daripada nama pokok di taman.

Ibu bapa pula lebih selesa melepak di kafe hipster daripada berkelah di taman rekreasi.

Apakah ini bayangan masa depan bandar besar yang generasinya lebih mesra eskalator berbanding rumput?

Kita semakin jarang melihat kanak-kanak bermain kejar-kejar di taman, kerana ruang seperti itu makin terpinggir, digantikan struktur konkrit dan lantai jubin.

Mungkin kerana itulah, saban minggu saya cuba mencari rehat daripada hiruk-pikuk kota dengan melawat taman awam, galeri seni atau muzium.

Walaupun tidak semewah pusat beli-belah, tempat-tempat sebegini memberi nafas dan ilham berbeza.

Ada ruang untuk duduk diam, berfikir atau hanya menikmati keindahan.

Saya percaya bandar yang sihat bukan diukur daripada jumlah pusat beli-belahnya, tetapi pada keseimbangan antara ruang komersial dan komuniti.

Di manakah ruang untuk bernafas, berjalan kaki, bersenam atau hanya duduk dan berbual tanpa perlu membeli apa-apa?

Kuala Lumpur bukan tidak cantik, tetapi ia boleh menjadi lebih mesra jiwa. Pembangunan harus memikirkan kesejahteraan bukan sekadar keuntungan.

Dan sebagai penduduk kota, kita juga harus berani memilih gaya hidup yang tidak hanya berpaksikan pada kad debit atau dompet digital.

Kadangkala, kita hanya perlu keluar dari bangunan tinggi dan melangkah ke alam atau ruang yang mengajar kita erti cukup.

-Rosalinda Md. Said ialah wartawan Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×