SOALAN
Saya bekerja untuk membiayai ibu yang tidak sihat. Tapi kebelakangan ini, emosi saya sangat terganggu. Bagaimana cara menangani bos atau rakan sekerja yang gaslighting di tempat kerja?
Yang teraniaya
JAWAPAN
Di tempat kerja, kita bukan sahaja berdepan tugasan dan tekanan, tetapi kadangkala terpaksa menghadapi sikap bos atau rakan yang toksik.
Salah satu bentuk tingkah laku toksik yang paling sukar dikenali ialah gaslighting iaitu manipulasi yang membuat seseorang meragui ingatan, persepsi atau kewarasan sendiri.
Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.
Oleh itu, penting untuk memahami cara-cara berdepan dengan gaslighting di tempat kerja agar maruah dan kesejahteraan diri dapat dipertahankan.
a)Kenal pasti corak gaslighting – Perhatikan corak manipulasi seperti merendahkan anda atau memutar kenyataan. Bila sudah kenal pasti, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang situasi tersebut tanpa mudah dipengaruhi atau tertekan.
b)Kuatkan kesedaran diri – Fokus pada keselamatan diri dengan mencatat segala urusan penting seperti arahan, percakapan dan masa berlakunya situasi tersebut. Ini membantu anda kekal yakin dengan kebenaran dan tidak mudah terpengaruh dengan manipulasi pihak lain.
c)Tetapkan batasan – Individu yang manipulasi akan cuba menarik anda ke dalam perdebatan yang melemahkan. Tetapkan batasan dengan memberikan jawapan pendek dan tegas seperti, ‘saya yakin dengan fakta saya.’ Elakkan melayan provokasi mereka untuk melindungi tenaga dan emosi anda.
d)Jaga diri sendiri – Pelihara diri dengan memperkuatkan fizikal dan mental melalui aktiviti menulis jurnal, solat atau aktiviti yang memberi ketenangan jiwa.
e)Sistem sokongan – Dapatkan sokongan ahli keluarga, rakan rapat atau kaunselor. Berkongsi pengalaman dapat melegakan beban emosi dan membantu anda melihat situasi dengan lebih objektif dan rasional.
f)Tindakan profesional – Jika gaslighting semakin melampau, simpan bukti komunikasi dan buat aduan secara profesional kepada jabatan sumber manusia. Jika tiada perubahan, mulakan langkah untuk mencari persekitaran kerja yang lebih sihat demi menjaga kesejahteraan mental anda.
Menghadapi gaslighting di tempat kerja memang mencabar , justeru jangan biarkan manipulasi orang lain melemahkan keyakinan dan nilai diri anda.










