ISLAMABAD: Pakistan tidak akan menerima bekalan air daripada sungai yang berada di bawah hak kawalan India, menurut Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Langkah itu sekali gus meningkatkan ketegangan dalam pertikaian akses air susulan serangan maut di Kashmir yang dikuasai India sebelum ini.
Ketua pegawai undang-undang Pakistan, dalam satu temu bual bersama Reuters berkata, Islamabad bersedia berbincang mengenai perkongsian air antara kedua-dua negara jiran itu.
Namun, beliau menegaskan India perlu mematuhi perjanjian yang sudah lama dimeterai.
India sebelum ini mengumumkan penggantungan Perjanjian Air Sungai Indus bulan lalu.
Ia adalah sebahagian daripada beberapa keputusan selepas serangan pada 22 April di Kashmir, yang menurut New Delhi dilakukan oleh pengganas berpangkalan di Pakistan, satu tuduhan yang disangkal oleh Islamabad.
Sebarang langkah untuk menyekat akses Pakistan kepada air dijangka memberi kesan buruk yang besar.
Perjanjian Indus yang dirundingkan oleh Bank Dunia pada 1960 menjamin bekalan air kepada 80 peratus ladang di Pakistan melalui tiga sungai yang mengalir dari India.
Terdahulu, kedua-dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear itu terbabit dalam pertempuran ketenteraan paling buruk dalam tempoh hampir tiga dekad sebelum bersetuju mengadakan gencatan senjata pada 10 Mei lalu.
“Pakistan perlu membayar harga yang tinggi bagi setiap serangan pengganas. Angkatan tentera Pakistan akan membayarnya.
“Ekonomi Pakistan juga akan menanggung akibatnya,” kata Modi.
Peguam Negara Pakistan, Mansoor Usman Awan memberitahu Reuters negaranya bersedia membincangkan atau menangani apa sahaja kebimbangan dihadapi.
“Namun, sebarang perbincangan perlu dibuat mengikut terma perjanjian sedia ada,” katanya.
Islamabad berpendirian perjanjian itu masih sah secara undang-undang, serta tidak boleh digantung secara sebelah pihak.










