Kedudukan Tengku Maimun masih jadi tanda tanya

Kedudukan Tengku Maimun masih jadi tanda tanya

TUN Tengku Maimun Tuan Mat (duduk dua kiri) bergambar bersama Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan yang baharu pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedudukan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sama ada akan kekal memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara selepas 30 Jun ini masih menjadi tanda tanya.

Ini kerana sehingga hari ini, Ketua Hakim Negara wa­nita pertama itu masih belum me­ne­rima sebarang tawaran untuk melanjutkan perkhidma­tannya.

Bagaimanapun ketika dita­nya sama ada beliau akan menerima lanjutan perkhidmatan itu, Tengku Maimun dilihat me­ngambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak fikir saya patut jawab (soalan itu) tetapi kita tunggu. Ia (tawaran lanjutan per­khidmatan) mungkin akan datang, jadi kita tunggu. Buat masa ini, belum lagi.

“Ada tiga lagi tawaran lanjutan perkhidmatan yang kita masih lagi menunggu, saya (Tengku Maimun), Tan Sri PCA (Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim) dan Tan Sri Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan),” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika ditemui pembe­rita selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini semalam.

Turut hadir pada majlis ter­se­but ialah Abang Iskandar; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Ha­shim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Menurut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai umur 66 atau sehingga suatu masa kemudiannya yang dilu­luskan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melebihi tempoh enam bulan.

Abang Iskandar akan mencapai usia persaraan wajib bagi hakim iaitu 65 tahun pada 1 Julai ini. Beliau turut dikatakan bakal pengganti Ketua Hakim Negara, sekiranya tiada sebarang lanjutan diberikan kepada Tengku Maimun.

Nallini yang merupakan ha­kim paling senior di Mah­kamah Persekutuan dan akan mencapai usia persaraan 21 Ogos ini.

Pada majlis angkat sumpah yang dijalankan petang tadi, seorang hakim dinaikkan ja­wa­tan sebagai Mahkamah Per­sekutuan manakala dua lagi hakim dinaikkan kepada Ha­kim Mahkamah Rayuan.

Lee Swee Seng, 65, yang di­­­lantik ke jawatan Hakim Mah­­­kamah Persekutuan memulakan kejayanya dalam perundangan pada 1985 sebagai peguam dan merupakan ketua panel hakim yang akan membuat keputusan berhubung pertikaian tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) pada 24 Jun ini.

Sementara itu, Datuk Haya­tul Akmal Abdul Aziz, 63, dilantik ke Hakim Mahkamah Ra­yuan merupakan hakim yang mendengar permohonan se­makan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 28 April lalu, Hayatul Akmal telah memerintahkan semua prosiding termasuk permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah lara­ngan bersuara (gag order) membabitkan semakan kehakiman itu ditangguhkan sehingga rayuan Peguam Negara berhubung Titah tersebut didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Seorang lagi hakim dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Lim Hock Leng yang berasal dari Sabah merupakan hakim yang menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas isteri pemandu e-hailing, Nurima Juli yang mengaku bersalah menyebabkan kematian Nurman Bakaratu, dua tahun lalu.

Kes pembunuhan Nurman menarik perhatian kerana pada mulanya ia membabitkan bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain (B) bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat dan membunuh pemandu e-hailing itu dan Nurima merupakan saksi utama pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini