KUALA LUMPUR: Ng Tze Yong kembali ke Axiata Arena Bukit Jalil yang mencatat detik hitam dalam kariernya selepas dilanda kecederaan belakang yang hampir merenggut karier pemain badminton perseorangan lelaki negara itu.
Pemain berusia 25 tahun itu akhirnya kembali beraksi di gelanggang keramat skuad kebangsaan selepas lebih setahun ditimpa kecederaan sewaktu beraksi pada pusingan pertama Terbuka Malaysia tahun lalu.
Tze Yong kembali menyertai Kejohanan Malaysia Masters 2025 selepas lebih setahun berehat kerana menjalani dua pembedahan sebelum melalui tempoh pemulihan yang cukup panjang.
Bagaimanapun, anak kelahiran Johor Bahru itu terpaksa kembali ke gelanggang latihan lebih awal kerana bimbang rankingnya tidak lagi dilindungi selepas setahun.
“Saya menyertai latihan lebih awal kerana sedar perlu menyertai kejohanan disebabkan ranking, masa memang tidak cukup kerana sistem perlindungan ranking hanya setahun,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang untuk Malaysia Masters 2025 yang bermula, semalam.
Tze Yong berkata, bukan mudah untuk dia kembali ke gelanggang kerana sebelum ini pernah terlintas di fikiran kecederaan ditanggung mungkin mampu mengakhiri kariernya yang baru hendak bermula.
“Tahun lepas tahun yang sukar, selepas menjalani pembedahan, kecederaan masih tak sembuh, saya hilang keyakinan dan berasa agak keliru, selama lebih setahun diperlukan untuk saya kembali berlatih,” katanya yang mengakui sokongan keluarga banyak membantu dia mengharungi detik pahit tersebut.
Katanya, kepercayaan dan sokongan daripada jurulatih, Kenneth Jonassen juga telah banyak membantunya keluar daripada situasi menekan dan kembali yakin menjejakkan kaki ke dalam gelanggang.
Tze Yong menambah, pada ketika ini, tiada lagi rasa sakit yang membelenggu dirinya dan pergerakan di dalam gelanggang juga semakin baik hari demi hari.
“Saya mahu kembali memenangi pertandingan, tetapi biarkan ia berlaku satu demi satu, kalau dulu saya hanya fikir mahu menang, tetapi sekarang saya lebih matang dan tidak mahu bermain dalam tekanan,” katanya.
Hari ini, Tze Yong akan beraksi menentang pemain No. 17 dunia, Angus Ng Ka Long dari Hong Kong pada peringkat 32 terbaik. – UTUSAN











