BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan tenteranya akan mengambil alih kawalan seluruh Gaza ketika pasukan ketenteraan melancarkan kempen serangan di wilayah tersebut.
Kenyataan itu dibuat selepas Israel mengumumkan bakal membenarkan kemasukan bekalan makanan asas ke Gaza dalam jumlah yang terhad.
Netanyahu berkata, langkah itu perlu diambil kerana imej kebuluran di Gaza akan menghalang objektifnya untuk menguasai wilayah itu dan mengusir kumpulan Hamas.
“Dalam pertempuran yang sengit ini, kami sedang membuat kemajuan. Kami akan mengambil alih keseluruhan wilayah Gaza.
“Kami tidak akan berundur. Namun, untuk mencapai kejayaan, kami mesti bertindak dengan cara yang tidak boleh dihentikan.
“Kami tidak boleh membiarkan penduduk Gaza tenggelam dalam kebuluran, bukan sahaja atas sebab praktikal tetapi juga diplomatik. Rakan-rakan Israel tidak akan bertolak ansur dengan imej kebuluran beramai-ramai.
“Untuk melengkapkan kemenangan mengalahkan Hamas dan membebaskan tebusan, kami tidak boleh mencapai tahap kebuluran,” katanya dalam video yang disiarkan di Telegram.
Israel kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk daripada sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS), supaya menarik balik sekatan sepenuhnya yang dikenakan terhadap Gaza sejak lebih dua bulan lalu.
Penyelamat berkata, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 150 orang, selepas tentera mengumumkan sudah memulakan operasi darat yang meluas terhadap Hamas.
Media Palestin berkata, 50 trak membawa tepung, minyak masak dan kekacang dibenarkan masuk ke wilayah pantai kecil itu semalam manakala media Israel melaporkan sembilan trak dipenuhi makanan bayi turut dibawa ke Gaza.
Beberapa trak yang membawa bantuan kemanusiaan turut dilihat di sepanjang persimpangan Kerem Shalom.
Pada hari terakhir lawatan ke Asia Barat, Presiden AS, Donald Trump mengakui jutaan penduduk Palestin di Gaza kebuluran dan pihaknya akan memastikan situasi di wilayah itu dipulihkan.
Sekutu Eropah termasuk Jerman dan Britain turut menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza yang disebabkan oleh sekatan bantuan.
Pentadbiran Trump sebelum ini turut dilaporkan merancang memindahkan sekurang-kurangnya sejuta rakyat Palestin di Gaza ke Libya secara tetap.
Perkara tersebut dilaporkan oleh portal berita NBC News yang memetik sumber daripada lima individu berkaitan pelan terbabit namun Kedutaan AS di Tripoli menafikannya. – AGENSI










