LANGKAWI: Sebanyak 860 syarikat iaitu 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan menyertai Pameran udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyertaan daripada syarikat antarabangsa dan syarikat tempatan ke LIMA’25 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Kata beliau, pada LIMA’23 hanya menampilkan 299 syarikat antarabangsa dan 249 buah syarikat tempatan.
“Ia adalah cerminan bagaimana usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan industri pertahanan telah nampak kesan-kesannya yang sangat baik dan positif. Jadi kita memang akan meneruskan usaha-usaha ini,” katanya semasa sidang media selepas melakukan tinjuan akhir persiapan LIMA’25 di Resort World Langkawi, semalam.
Tambah Mohamed Khaled, keseluruhan pempamer itu datang daripada 24 buah negara termasuk ASEAN dan sebagainya.
“Kita sediakan sebanyak 15 pavilion berkumpulan negara yang mewakili pelbagai sektor maritim dan aeroangkasa, merangkumi sektor komersial dan pertahanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 140 orang delegasi daripada 46 negara akan menghadiri LIMA’25 iaitu terdiri daripada menteri, timbalan, menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian dan sebagainya.
Ketika ditanya mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya LIMA’25 memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, Mohamed Khaled berkata, penganjuran LIMA kali ini sememangnya mengenengahkan penyertaan pemain industri tempatan.
“LIMA membuka peluang kepada kita bukan sahaja untuk memahami, mengetahui dan menyedari kemajuan teknologi yang ada dalam setiap pengeluaran aset tetapi juga membantu mewujudkan kerjasama dan ‘networking’ antara syarikat tempatan dengan syarikat luar.
“Ia pada akhirnya mencapai matlamat kita untuk memastikan berlaku pemindahan teknologi dan dari situlah ia akan membolehkan kita untuk membawa dan memberi tumpuan kepada usaha-usaha membangunkan industri tempatan kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khaled berkata, Kementerian Pertahanan tidak mengabaikan kediaman penduduk di sini yang mengalami kerosakan disebabkan sesi latihan pertunjukan udara LIMA’25.
“Kita akan tengok, Insya-Allah kita tidak akan abaikan soal itu. Kita akan kaji mengapa (kediaman penduduk rosak).
“Ada masa-masanya memang ada pertunjukan dan mungkin akan ada kesan-kesan,” katanya. – UTUSAN











