Tidak cukup lulus SPM, perlu kuasai pelbagai bidang

Tidak cukup lulus SPM, perlu kuasai pelbagai bidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELULUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semata-mata tidak lagi mencukupi dalam suasana persaingan masa kini. Di era globalisasi yang penuh cabaran, universiti dan majikan bukan sekadar melihat sijil kelulusan tetapi juga menilai kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah serta pencapaian holistik pelajar.

Justeru, sudah tiba masanya sekolah mengubah hala tuju mereka daripada sekadar mengejar kelulusan kepada membudayakan kecemerlangan dalam kalangan pelajar.

Di sekolah-sekolah cemerlang, pentadbiran dan guru tidak hanya memastikan pelajar lulus, malah mereka menyasarkan keputusan terbaik untuk setiap individu. Guru memainkan peranan proaktif dalam mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar, merangka program intervensi berkesan, menyediakan kelas tambahan, mengadakan seminar teknik menjawab dan mengasah kemahiran belajar pelajar.

Guru juga bukan sekadar mengajar di dalam bilik darjah, malah sanggup meluangkan masa di luar waktu persekolahan untuk membimbing pelajar. Modul khas disusun, data peperiksaan dianalisis secara teliti, dan pelajar dipantau secara berterusan. Budaya saling berkongsi amalan terbaik melalui komuniti pembelajaran profesional (PLC) menjadi amalan tetap yang memperkukuh keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Ibu bapa turut memainkan peranan aktif dalam memantau perkembangan akademik anak-anak, berkomunikasi dengan guru dan menyokong program sekolah. Alumni pula sering kembali untuk menyumbang semula melalui tajaan, bimbingan dan ceramah motivasi. Semua elemen ini membentuk ekosistem pendidikan yang kukuh dan berkesan.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sekolah yang terlalu memberi tumpuan kepada memastikan pelajar lulus, sehingga mengabaikan potensi pelajar sederhana dan cemerlang. Ini menyebabkan ramai pelajar tidak mencapai potensi sebenar mereka, sekali gus mengehadkan peluang mereka di peringkat seterusnya.

Kecemerlangan pelajar tidak boleh dibina secara tergesa-gesa menjelang peperiksaan semata-mata. Ia perlu diterapkan sejak pelajar berada di tingkatan satu melalui pengukuhan asas akademik, penguasaan kemahiran belajar dan pengurusan masa yang baik.

Program pembangunan sahsiah dan kokurikulum juga memainkan peranan penting dalam membina jati diri kepimpinan, serta kemahiran komunikasi pelajar. Sekolah perlu memastikan pelajar aktif dalam pelbagai bidang, bukan hanya cemerlang di atas kertas.

Pelajar perlu digalakkan untuk berfikir secara kritis, berdikari dalam merancang pembelajaran, serta menetapkan matlamat peribadi. Apabila pelajar diberi kepercayaan dan cabaran, mereka akan lebih bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan. – UTUSAN

NURUL IMAN MOHD. IMRAN
SMK Dato Sulaiman
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×