Air New Zealand perkenal kabin baharu mewah, mesra penumpang

Air New Zealand perkenal kabin baharu mewah, mesra penumpang

REKA bentuk baharu kabin Air New Zealand merevolusikan pengalaman perjalanan udara jarak jauh untuk semua penumpang.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIR New Zealand mencipta penanda aras baharu dalam keselesaan dan reka bentuk penerbangan melalui pelancaran kabin yang direka semula sepenuhnya bagi pesawat Boeing 787-9 miliknya.

Pesawat pertama dikenali sebagai ZK-NZH dinaik taraf melalui proses pengubahsuaian selama 184 hari di Singapura dan kini sedang menjalani ujian terakhir di Auckland sebelum memulakan penerbangan rasminya.

Kabin baharu ini dibahagikan kepada beberapa kelas tempat duduk iaitu perniagaan, perniagaan mewah, ekonomi premium dan ekonomi.

Kesemuanya direka bentuk dengan penambahan ciri-ciri untuk meningkatkan keselesaan penumpang ke tahap maksimum dan belum pernah dirasai di mana-mana penerbangan sebelum ini.

Bagi kelas perniagaan, tempat duduk dilengkapi dinding pemisah boleh gelongsor untuk privasi dan skrin hiburan 24 inci yang boleh turunkan sepenuhnya menjadi katil.

Tempat duduk barisan hadapan pula dinaik taraf kepada kelas perniagaan mewah yang menyediakan pintu tertutup sepenuhnya, katil lebih luas dan ruang untuk dua orang menikmati hidangan bersama.

Kelas ekonomi premium pula menawarkan ruang simpanan tambahan, penyokong sisi untuk lebih privasi serta kerusi dalam kerangka tetap supaya penumpang boleh menyandarkan kerusi tanpa mengganggu penumpang di belakang.

Penumpang juga bakal menikmati skrin hiburan 50 peratus lebih besar, meja makanan dan ruang simpan baharu serta pilihan tempat duduk khas dikenali sebagai tempat duduk regangan di kelas ekonomi, yang menyediakan ruang kaki 39 peratus lebih luas berbanding biasa.

Setiap pesawat yang direka semula ini dilengkapi dengan sistem hiburan serba lengkap baharu berdefinisi tinggi 4K di semua kelas. 

Penumpang boleh menyambungkan fon kepala tanpa wayar, mengawal skrin menggunakan telefon mereka sendiri dan menikmati ciri tambahan seperti tontonan berganda dalam satu skrin serta senarai tontonan yang boleh disimpan mengikut pilihan sendiri.

Pesawat baharu ini akan memulakan perkhidmatan pada 19 Mei dengan laluan dari Auckland ke Brisbane.

Pada malam yang sama, ia akan melakukan penerbangan jarak jauh pertamanya ke San Francisco.

Destinasi lain seperti Vancouver dan Rarotonga akan turut menyusul apabila lebih banyak pesawat dalam kumpulan Boeing 787-9 selesai dinaik taraf.

Air New Zealand merancang untuk menaik taraf kesemua 14 pesawat 787-9 miliknya menjelang akhir tahun 2026 dengan tujuh daripadanya dijangka siap dalam tahun ini.

Dengan penambahbaikan dari segi teknologi, keselesaan dan pengalaman pengguna, Air New Zealand bukan sahaja menaik taraf pesawat, tetapi turut merevolusikan pengalaman perjalanan udara jarak jauh untuk semua penumpang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×