Aaron-Wooi Yik buru gelaran kedua

Aaron-Wooi Yik buru gelaran kedua

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkirkan beregu tuan rumah, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-13 pada separuh akhir badminton Terbuka Thailand di Bangkok, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengintai gelaran kedua berturut-turut selepas dinobat juara Asia, bulan lalu, pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, hari ini.

Gandingan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu menewaskan beregu tuan rumah, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-17, 21-13 dalam masa 38 minit pada separuh akhir, semalam.

Pada final, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan gandingan ke-75 dunia dari Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer yang melakar kejutan besar ke atas pasangan No. 4 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia 21-13, 21-12 dalam masa 33 minit.

Aaron berkata, dia berharap dapat sekali lagi menjulang kejuaraan selepas merangkul gelaran Asia dan pada ketika ini, amat penting untuk mereka fokus terlebih dahulu kepada perlawanan.

“Fokus satu demi satu dulu, menang atau kalah, itu perkara kedua,” katanya ketika ditemu bual Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir, semalam.

Mengulas mengenai separuh akhir, pemain berusia 28 tahun itu berkata, pertemuan tersebut berlangsung sengit kerana Kittinupong-Dechapol berjaya mendahului dalam set pembukaan.

“Kami bernasib baik dapat mengejar mereka, perlahan-lahan kami dapatkan kembali momentum.

“Kami beraksi menentang seluruh arena, jadi, tekanan itu memang tinggi, tetapi, kami seronok dengan permainan tadi,” katanya.

Sementara itu, Wooi Yik pula berkata, dia dan Aaron perlu berikan fokus 130 peratus kerana amat penting untuk terus bertahan memandangkan beregu Thailand mendapat sokongan penuh penyokong mereka.

“Kami dapat berasakan suasana yang tegang dan kami juga sedar mendahului lawan satu atau dua mata sebelum rehat pada pertengahan permainan mampu mengubah arah tuju perlawanan,” katanya.

Wooi Yik turut mengakui masih banyak yang perlu dia dan Aaron pelajari sejak berada di bawah teraju jurulatih kelahiran Indonesia, Herry Iman Pierngadi yang memiliki pendekatan serta strategi berbeza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×