Ungu cipta sejarah buat konsert orkestra di KLCC

Ungu cipta sejarah buat konsert orkestra di KLCC

Ungu akan mengadakan konsert versi orkestra di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 12 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Band tersohor Indonesia, Ungu mengakui teruja untuk beraksi di konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 12 Julai ini.

Pertama kali diadakan da­lam versi orkestra, vokalisnya, Pasha menyifatkan konsert itu bakal melakar sejarah baharu dalam perjalanan Ungu sepanjang berada dalam industri muzik.

“Ini pertama kali Ungu mengadakan konsert orkestra sepanjang ditubuhkan sejak 1996. Bahkan, di Indonesia pun kami belum lakukan konsert seperti ini.

“Sepanjang 29 tahun dalam industri, ini menjadi satu sejarah baharu dalam perjalanan kami. Kami yakin konsert ini bakal menjadi satu tontonan yang menarik dan persembahan yang berbeza daripada persembahan kami sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Pasha, dia juga berbesar hati dapat bekerjasama buat pertama kali dengan pengarah muzik, J.P Danny sekali gus bakal memberikan susunan muzik baharu untuk lagu-lagu hits Ungu di konsert nanti.

“Kami juga sangat terharu apabila J.P Danny sudi bekerjasama dengan Ungu untuk konsert kali ini. Saya jamin penonton yang datang akan dapat pengalaman yang berbeza berbanding konsert sebelumnya sekali gus menjadi malam yang bermakna buat mereka,” jelasnya.

Dianjurkan Apex Venture Global Sdn. Bhd., wakilnya Amin Aizuddin berkata, mereka yakin dengan kemampuan band tersohor tersebut yang mempunyai ramai peminat.

“Kami sebagai penganjur percaya konsert ini mampu mencapai sasaran kerana Ungu merupakan sebuah kumpulan yang mempunyai sokongan daripada peminat mereka.

“Apatah lagi mereka sudah hampir tiga dekad dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Pihaknya menyasarkan sebanyak 2,865 penonton selain menjanjikan persembahan yang sangat bertenaga dan istimewa melalui sentuhan orkestra daripada JP Denny.

“Kapasiti dewan hanya bo­leh memuatkan kurang daripada 3,000 penonton dan kami sarankan peminat segera mendapatkan tiket agar tidak terlepas peluang,” kongsinya.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM288 hingga RM1,588.  29th Anniversary – Symphony of Ungu memilih Utusan Malaysia dan Media Mulia Sdn. Bhd. sebagai media rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×