Kelainan mi kicap Ayah Din

Kelainan mi kicap Ayah Din

BAGI yang tidak mahir dengan pekan Tanjung Malim, mungkin sukar mencari lokasi Kedai Makan Ayah Din kerana kedudukannya agak tersorok daripada pandangan umum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja Tanjung Malim, mesti teringatkan pau yang gebu dengan inti kacang merah atau kaya.

Malah, pekan di selatan Perak ini menjadi lokasi wajib singgah keluarga saya setiap kali mahu pulang ke kampung halaman di Ipoh dari ibu kota pada 1970-an dan 1980-an, sebelum adanya Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Kami berehat sambil menikmati kuih tradisional tersebut di sebuah kopitiam yang terkenal sehingga hari ini.

Setelah sekian lama tidak menjejakkan kaki di Tanjung Malim, baru-baru ini saya ke sana untuk bersarapan pagi. Namun, bukan makan pau, sebaliknya menikmati mi wantan kicap yang viral dalam media sosial sejak kebelakangan ini.

Arah tuju saya adalah Kedai Makan Ayah Din. Kalau cari tanpa guna teknologi internet, pasti susah hendak jumpa kedai ini. Lebih-lebih lagi kalau tidak mahir dengan selok-belok pekan Tanjung Malim. Ini kerana kedudukannya agak tersorok daripada pandangan umum.

Pintu masuknya terletak di bahagian belakang kedai, di celah-celah lorong kecil antara dua deretan bangunan satu tingkat. Kecil sahaja ruang dalaman kedainya, boleh memuatkan kira-kira 28 pelanggan.

Tapi betullah kata orang, masuk ke dalamnya seperti kita mengunjungi rumah sanak saudara.

Susun aturnya terasa seperti menziarahi rumah datuk dan nenek atau pakcik dan makcik kita di kampung. Cukup sederhana.

Saya pilih duduk di bahagian luar. Seperti kata dua anak muda yang sedang makan di situ, nak rasai vibe di sekeliling.

Di dinding sepanjang lorong itu ada banyak lukisan grafiti. Namanya pun Lorong Seni Muallim, pastilah dihiasi karya-karya untuk tontonan pengunjung.

Sudah kenyang perut, bolehlah rakam gambar sambil memperagakan fesyen, kemudian muat naik dalam akaun media sosial. Seperti trend budak-budak muda sekarang, OOTD (outfit of the day).

Saya pesan mi wantan kicap yang merupakan sajian istimewanya. Suapan pertama memberi mesej awal kepada saya bahawa hidangan ini memang ada kelainan.

 

KEDAI MAKAN AYAH DIN
Lokasi: No. 23, Lorong Belakang, Jalan Besar, Muallim, 35900 Tanjung Malim, Perak.
Waktu operasi:
Selasa & Rabu 9 pagi hingga 4 petang
Sabtu, Ahad & Isnin 9 pagi hingga 4 petang
Khamis & Jumaat Tutup
Menu istimewa: Mi wantan kicap, nasi goreng Yong Chow, wantan goreng, mi wantan sup, mi lor, mi pan kon lo, kuetiau sup.

 

Tidak sama seperti mi kicap yang dibuat olah orang Melayu atau mamak. Hendak tahu macam mana rasanya, kenalah cuba sendiri!

Minum pula minuman eksklusif kedai ini, iaitu air selasih bunga telang yang diperah sedikit limau kasturi. Fuh! Saya sudah tidak toleh kiri kanan!

Menurut tauke kedai, Mohammad Khairuddin Lim Abdullah, 53, atau lebih mesra disapa Ayah Din, resipi mi wantan kicap itu diperturunkan oleh ibunya. Lalu diajar hidangan masyarakat Tionghoa itu kepada isterinya, Kamariah Badri, 59, yang kemudian mengolah mengikut cita rasa orang Melayu.

Namun, rahsia sebenar yang membuatkan mi wantan kicap Ayah Din rasa berbeza dan sedap adalah pada kicapnya. Katanya, dia menggunakan empat jenis kicap, dua jenis minyak dan sos tiram yang diadun bagi menghasilkan hidangan yang membuatkan pelanggan mahu datang dan datang lagi untuk menikmatinya.

Tapi hanya hari-hari tertentu mi wantan kicap dihidangkan kepada pelanggan, iaitu Sabtu, Ahad dan Isnin. Pada Selasa dan Rabu, ada satu lagi resipi istimewa di Kedai Makan Ayah Din, iaitu mi pan Hakka.

Kebetulan saya datang hari Isnin, maka ‘melepaslah’ saya hendak jamah hidangan tradisional tersebut. Hidangan-hidangan istimewa lain yang berasaskan makanan tradisional kaum Cina adalah nasi goreng Yong Chow, wantan goreng, mi wantan sup, mi lor, mi pan kon lo dan kuetiau sup.

Agak mengejutkan saya apabila Ayah Din memberitahu yang dia baru memulakan perniagaan kedai makan itu sejak lapan tahun lalu, iaitu pada awal 2017. Sebelum ini dia mengusahakan kedai runcit bersama bapanya yang terletak di bahagian depan Kedai Makan Ayah Din.

Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal dunia, dia tidak lagi meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada datuknya sejak negara mencapai kemerdekaan. Lalu dibukanya kedai makan di bahagian belakang sehingga hari ini.

Jadi, kalau tidak tahu ke mana hendak cari makan, moh le kita ke Kedai Makan Ayah Din. Dari pusat bandar raya Kuala Lumpur tidak jauh mana pun, kalau memandu, sejam setengah sampailah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×