Pertukaran majikan pekerja asing hanya libat sektor formal

Pertukaran majikan pekerja asing hanya libat sektor formal

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar pertukaran majikan bagi pekerja asing setakat ini hanya melibatkan sektor-sektor formal.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, garis panduan terperinci sedang dirangka bagi menetapkan syarat dan proses yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, ia termasuk tempoh minimum perkhidmatan sebelum pertukaran dibenarkan, proses mendapatkan kebenaran daripada majikan dan pekerja serta penetapan sektor-sektor yang terlibat.

Katanya, semua perincian mengenai pelaksanaan dasar itu akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memastikannya berjalan lancar dan mengikut peraturan.

“Ada juga yang bertanya sama ada pembantu rumah atau pekerja domestik terma­suk dalam dasar ini. Untuk makluman, sektor domestik tidak tergolong dalam sektor formal dan tidak termasuk dalam pelaksanaan ini,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar Lanjutan Bulan Pemutihan Perkeso 2025 di Menara Perkeso, di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan kini membenarkan pekerja asing untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, perubahan dasar meru­pakan strategi untuk menangani pelbagai isu kritikal dalam pengurusan pekerja asing di negara ini.

“Terdapat kes syarikat yang tiba-tiba tutup atau tidak lagi beroperasi menyebabkan pekerja asing yang masih memiliki permit sah tidak tahu ke mana hendak pergi.

“Dalam keadaan ini, pertukaran majikan secara sah boleh mengelakkan mereka daripada diambil bekerja secara tidak sah atau berada di luar perlindu­ngan undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×