FAMA jual 100 tan harumanis sebulan

FAMA jual 100 tan harumanis sebulan

MOHD. Anzara Azizan (dua dari kanan) dalam operasi bersepadu (Ops Harumanis) Perlis di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun, Arau, Perlis. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Permintaan terhadap mempelam harumanis agak luar biasa dengan hampir 100 tan metrik buah berkenaan dijual dalam tempoh sebulan di pusat agro pelancongan di se­balik pengeluaran buah ikonik itu yang menunjukkan penyusutan pada musim ini.

Hal demikian disebabkan faktor pelbagai program dan aktiviti diadakan di Perlis sepanjang tahun ini yang bersempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis dan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd Anzara Azizan berkata, buat masa ini, data jualan buah itu masih dalam proses pengumpulan, namun ada di antara pusat agro pelancongan dikendalikan usahawan FAMA telah menunjukkan perkembangan jualan yang cukup positif.

Katanya, setakat ini, di pusat agro pelancongan sahaja berjaya merekodkan jualan hampir 100 tan metrik mempelam harumanis Perlis dalam tempoh sebulan.

“Melalui promosi dan rancangan kerajaan negeri bersama program-program dianjurkan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, kita dapati buah ini telah mendapat permintaan yang menggalakkan biarpun hasil sedikit menyusut musim ini.

“Perkembangan tersebut secara tidak langsung telah memberi limpahan buat peniaga-peniaga mempelam harumanis ini khususnya mereka yang beroperasi di tepi-tepi jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Anzara berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pertanian negeri, hasil mempelam harumanis Perlis pada tahun ini sememangnya menyusut di­sebabkan oleh faktor cuaca yang tidak menentu.

“Tahun lepas sekitar empat juta buah telah dibalut namun tahun ini, jumlah itu sedikit menyusut iaitu sekitar dua juta biji,” katanya.

Dalam pada itu, Anzara berkata, FAMA negeri mengambil inisiatif menjalankan pemeriksaan dan inspektorat sebanyak dua kali pada tahun ini terhadap komoditi harumanis.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan hampir 10 buah gerai yang beroperasi di laluan Kuala Perlis-Changlun dan Padang Besar.

“Selain itu, FAMA negeri juga bekerjasama dengan agensi media tempatan bagi menyampaikan maklumat tepat berkenaan ciri harumanis bagi mengelakkan berlakunya penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×