Makin lama makin kurang common sense

Makin lama makin kurang common sense

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejujurnya, saya tidak pelik pun melihat video tular memaparkan seorang ibu yang membuat penjelasan mengenai anaknya yang merobohkan pelamin ketika di majlis perkahwinan.

Video tersebut mengundang kemarahan warganet kerana si ibu menjelaskan mengenai perkara itu dalam keadaan ketawa, rasa kelakar katanya anak buat begitu.

Kalau ibu zaman dahulu, sudah lebam agaknya paha anak sebab berkelakuan tidak senonoh di tempat orang. Tetapi kini, perkara sebegitu bagaikan bahan jenaka pula.

Sebab apa? Kerana orang zaman sekarang ramai yang kurang common sense.

Bukan dalam isu anak sahaja, banyak lagi perkara-perkara lain yang dapat dilihat.

Antaranya, meletakkan kereta di tempat mengisi minyak kemudian, pergi ke tandas, beli-belah di dalam kedai di stesen minyak dahulu dan barulah isi minyak.

Tidak bolehkah isi minyak dahulu kemudian letak kenderaan di tempat disediakan supaya orang lain yang kesuntukan masa untuk mengisi tidak perlu beratur lama hanya kerana sikap pentingkan diri.

Ada juga yang terlalu ‘sayang’ hendak guna signal kereta. Tidak tahulah mengapa tetapi sudah masuk tahun 2025 pun masih ada yang tukar lorong tidak bagi signal.

Nampak remeh, tetapi perkara itu sangatlah bahaya. Sudah beberapa kali saya alami kejadian sebegitu dan ia cukup membuatkan jantung berdegup kencang.

Ada juga jiran yang suka terpekik terlolong di rumah sendiri tanpa memikirkan jiran-jiran lain.

Yang dimarahnya si anak, tetapi ibarat satu lorong kena marah dengan jeritannya yang bak halilintar itu.

Sekali-sekala tidak mengapa, tetapi apabila sudah hari-hari begitu, bingit rasanya.

Baru-baru ini pula saya terbaca luahan hati seorang pengguna media sosial mempersoalkan syarikat yang tetap mahu menjalankan temu duga secara berdepan dan tidak menawarkan pilihan dalam talian.

Sebabnya, kos untuk temu duga di tempat yang jauh agak tinggi dan jika tidak dapat, ia dirasakan seperti rugi.

Betullah kata guru saya suatu ketika dahulu, budak sekarang semua hendak senang.

Hendak mintak kerja pun, syarikat yang perlu faham keperluan calon, bukan calon yang perlu usaha.

Pernah dengar peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’?

Peribahasa itu bermaksud usaha tangga kejayaan. Jika hendakkan sesuatu, berusahalah untuk mendapatkannya.

Orang dulu-dulu kebanyakan naik bas sahaja untuk pergi temu duga ke merata tempat. Ada yang sampai terpaksa tidur di tepi jalan sambil menunggu waktu temu duga.

Sebelum diambil bekerja, sudah tentulah syarikat ingin berjumpa secara berdepan kerana daripada situ mereka dapat menilai calon-calon.

Ada juga yang ingin melihat sama ada calon tersebut fit atau tidak untuk kerja yang ditawarkan.

Itu antara kisah kurang common sense yang bagi saya semakin menjadi-jadi ketika ini.

-Intan Suhana Che Omar ialah wartawan Utusan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×