Kupu-kupu, si tempang penghibur keluarga

Kupu-kupu, si tempang penghibur keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai anak tunggal, kehidupannnya sering sunyi kerana ketiadaan adik-beradik untuk bergurau senda atau berbual di rumah.

Namun, suasana itu berubah sekelip mata sejak kehadiran Kupu-kupu.

Mohd. Khairi Mohamed Zainuddin, 26, berkata, kucing jalanan itu bukan sahaja membawa keceriaan kepada keluarganya, malah menjadi penghibur setia mereka.

Ada sahaja keleteh Kupu-kupu yang mencuit hatinya dan ibu bapa.

Di sebalik fizikalnya yang tempang, ia tetap lincah berlari dan melompat ke sana sini.

Katanya, kucing betina itu tidak gemar berkurung di dalam rumah, sebaliknya suka bermain di luar.

Lokasi kegemarannya ialah di dalam stor simpanan barang bersebelahan kediaman.

“Walaupun sebelah kakinya tidak normal, ia tetap aktif memburu haiwan di dalam stor dan di sekitar rumah.

“Hasil buruan seperti tikus, lipas dan cicak itu tidak dimakan, sebaliknya ditinggalkannya di depan pintu rumah atau bilik tidur,” katanya baru-baru ini.

Tingkah laku kucingnya itu bagaimanapun sering membuatkan ibunya menjerit ketakutan.

“Kupu-kupu suka mengusik dan adakalanya sengaja meletakkan haiwan itu di kaki ibu.

“Sikapnya itu membuatkan rumah kami jadi riuh-rendah,” katanya.


DILARANG BELA
Selama lapan tahun memelihara haiwan itu, kata Mohd. Khairi, Kupu-kupu sangat mudah dijaga.

Walaupun fizikalnya tidak seperti kucing normal lain, tetapi ia pandai berdikari.

Katanya, kaki Kupu-kupu yang terjejas ialah di bahagian belakang.

“Saya jumpanya di pintu pagar sekolah menengah, ketika itu ia menjadi mangsa ejekan kawan-kawan saya kerana tempang.

“Simpati dengan nasib yang menimpanya saya buat keputusan untuk bawa pulang sebagai haiwan peliharaan.

“Salah seorang kawan melarang saya berbuat demikian kerana baginya tidak berbaloi dan merupakan perbuatan sia-sia tetapi saya tidak endahkan,” ujarnya.

 

SAKIT TENAT
Mohd. Khairi pernah berdepan situasi cemas apabila Kupu-kupu tiba-tiba sakit tenat.

Situasi itu berlaku selepas dua hari ia dimandulkan.

Kucing itu hilang selera makan dan keadaannya lemah.

Ia tidak mampu bangun atau duduk dan hanya terbaring sepanjang masa.

“Mujurlah saya segera bawa ke klinik untuk rawatan, jika tidak mungkin saya sudah kehilangan ‘adik’ tersayang.

“Tahun lalu, kesihatannya kembali merosot dan rupa-rupanya Kupu-kupu menghidap penyakit batu karang serius,” katanya.

Walaupun sedar usia kucing itu makin meningkat dan kesihatan yang merosot, namun Mohd. Khairi mengakui belum bersedia untuk kehilangan ‘adiknya’.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×