Masanya untuk hadkan kelajuan semua kenderaan berat, komersial

Masanya untuk hadkan kelajuan semua kenderaan berat, komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN kita melihat video apabila sebuah lori tiga tan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur terbabas, melanggar pembahagi jalan, masuk ke laluan bertentangan serta merempuh empat kenderaan lain di Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dalam kejadian sebelum Aidilfitri lalu.

Tiga sekeluarga dalam sebuah kereta maut dalam sekelip masa. Sememangnya kelajuan membunuh. Bagaimanapun kecuaian dalam kebodohan menjadi punca sebenar tragedi yang meragut tiga nyawa tidak berdosa itu.

Sesiapa yang melihat video itu akan menyaksikan kelajuan lori ketika mengambil selekoh sebelum belakangnya mula “membuang” dan pemandu itu tidak mungkin dapat mengawal hala tuju kenderaan tiga tan itu. Tidak diketahui muatan yang dibawa lori itu.

Adakah kemalangan bodoh itu boleh dielak? Kereta F1 yang menelan belanja sehingga RM90 juta dan mencapai kelajuan sehingga 372 km sejam dan teknologi terkini dunia permotoran dengan downforce yang membuat kenderaan itu melekat di jalan masih mengambil selekoh tertentu pada kelajuan lebih rendah.

Ini lori tiga tan yang setinggi 3.5 meter berbanding kereta F1 yang tidak sampai satu meter. Lori itu tiada ciri teknologi tetapi pemanduaan dengan muatan ketika mengambil selekoh seperti pemandu F1.

Hasilnya? Tiga kematian dan kerosakan kepada tiga kende­raan lain. Fizik menyatakan tidak mungkin jisim seberat dan se­tinggi itu pada kelajuan tertentu pada selekoh itu dapat dikawal. Itu kecuaian dan kebodohan dan bukan masalah kelajuan.

Kejadian kenderaan berat menyebabkan tragedi semakin menjadi-jadi. Insiden tayar tercabut meragut tujuh nyawa masih segar di ingatan. Siasatan mendapati ia membawa muatan berlebihan dan pada kelajuan tertentu, ia resipi untuk tragedi.

Kematian akibat kemalangan di jalan raya sudah mencapai peringkat yang tidak lagi boleh diabaikan. Melanggar lampu isyarat merah perkara biasa. Menyaksikan bas ekspress di laluan paling laju perkara biasa.

Melihat four wheel drive seberat 2.2 tan tanpa muatan memecut perkara biasa. Kenderaan dan motosikal melanggar lampu isyarat merah perkara biasa. Semua ini menyumbang kepada 6,443 kematian pada 2023 dan 545,630 kemalangan pada 2022.

Untuk mengelak pemanduan laju, kerajaan harus memasang kamera di setiap 100 meter di sepanjang lebuh raya. Untuk mengelak pelanggaran lampu merah, setiap lampu isyarat harus dipasang kamera. Hanya itu saja cara untuk mengurangkan kadar kematian. Adakah penyelenggara lebuh raya dan pihak berkuasa tempatan mampu menyediakan wang sebanyak itu?

Cara paling mudah adalah mengehadkan kelajuan semua kenderaan berat melebihi 2.2 tan pada sistem enjin kenderaan itu sendiri sebagai peraturan wajib. Contohnya lori tiga tan dan ke atas dan semua bas, kalau ditekan pedal minyak, ia tidak mungkin bergerak lebih daripada 110 km sejam. Begitu juga pacuan empat roda.

Semua kenderaan ini adalah kenderaan perdagangan yang digunakan untuk mencari wang dan tiada sebab ia memandu lebih daripada 110 km/j di lebuh raya. Mereka bukan Porsche 911 GT. Kerajaan perlu bertindak sekarang atau lebih banyak nyawa tidak berdosa hilang begitu saja.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd – UTUSAN