BERMULA dengan warisan keluarga menjual akok di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, sejak tahun 1992 menjadi inspirasi kepada pengusahanya (pewaris) dalam mempelbagaikan jualan kuih tradisional itu.
Mohamad Affendy Aziz, 35, kini meneruskan legasi itu dengan penuh semangat dan inovasi tersendiri dengan mempelbagaikan pilihan akok sebagai nilai tambah untuk memikat selera ramai.

Menurutnya, perniagaan akok lapan perisa yang diusahakannya telah berpindah dari Kelantan ke Besut sejak lapan tahun lalu dengan memilih lokasi strategik dan tempat tumpuan umum.
“Bermula pada 2017 saya mula berniaga di Kampung Gong Kemuntong, Besut dengan menampilkan kelainan apabila memperkenalkan lapan jenis akok pelbagai perisa.
“Syukur hasil inovasi dan keberanian saya cuba mempelbagaikan jenis akok untuk mendapat pilihan ramai pelanggan yang terus berkunjung,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.
Namun begitu, tambah Mohamad Affendy, warisan tradisi bahan utama akok seperti telur, gula, gandum, manisan (gula Melaka) dan santan terus dikekalkan sebagai bahan utama resipi.
Menurutnya, antara jenis akok yang dihasilkannya adalah Akok Coklat, Akok Jagung, Akok Serunding Daging, Akok Baulu, Akok Durian, Akok Red Velvet, Akok Terlebih Pandan dan Akok Biasa.
Terbaharu, katanya, akok pisang berangan turut mendapat permintaan yang tinggi bukan hanya perisanya yang enak tetapi pelanggan turut menikmati potongan nipis isi pisang berangan yang dijadikan hiasan atas akok.
“Pembeli tidak menilai dekorasi dan serlahan akok sebaliknya mereka lebih menumpukan kepada keenakannya.
“Ada pembeli yang mengatakan dengan adanya akok lapan perisa menjadikan kuih tradisional ini tampil lebih moden namun kekal dengan keaslian rasanya.
“Resipi ini saya warisi daripada keluarga. Bahan asas seperti telur, gula, gandum, nisan dan santan masih dikekalkan bagi memastikan keenakan asli akok tidak hilang walaupun tampil dalam pelbagai perisa,” jelasnya.
Menurut Mohamad Affendy, dia menggunakan enam pekerja bagi memastikan proses membakar akok berjalan lancar setiap hari.
“Dengan menggunakan ketuhar, pekerja mampu menghasilkan antara 2,000 hingga 7,000 biji akok sehari, bergantung kepada permintaan manakala, adunan perisa dan bahan mentah saya olah sendiri.
“Kalau musim perayaan dan hujung minggu, kami memang tidak menang tangan. Ramadan lalu, permintaan meningkat dua kali ganda kerana ramai pelanggan membuat tempahan awal,” katanya.
Tambahnya, harga bermula serendah RM4 untuk lima biji akok, menjadikannya antara yang termurah di pasaran, namun bergantung kepada jenis perisa yang dipilih.
Katanya, pelanggan juga tidak perlu risau tentang ketahanan kuih ini kerana akok ini boleh disimpan dalam peti sejuk dan masih enak dinikmati selepas dipanaskan semula. – UTUSAN










